Perak Hari Ini
Like

Ibu Menteri Besar turut diheret jadi modal pembangkang menyerang kerajaan

December 4, 2010
63 Views
1 Comments
3 minutes read
Ibu Menteri Besar turut diheret jadi modal pembangkang menyerang kerajaan

Sesuai dengan gelarannya iaitu ‘tokoh manipulator’, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) turut mengheret ibu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk dijadikan sebagai modal untuk menyerang kerajaan.

Nizar yang merupakan Ketua Pembangkang mendakwa Menteri Besar telah menggunakan kedudukan beliau untuk mengambil alih tanah persendirian di Kampung Masjid, Pulau Pangkor kerana ibu Zambry tinggal di tanah itu.

Beliau mendakwa pemilik tanah berkenaan, Yahya Ismail dikatakan dizalimi berikutan pengambilan tanah tersebut dan mahu supaya tanah itu dikembalikan kepada pemiliknya.

Ketika menjawab isu yang dibangkitkan Nizar itu, Zambry berkata ADUN Pasir Panjang bertujuan memanipulasikan setiap perkara bagi mengelirukan pandangan rakyat dan ini termasuklah mengheret ibunya untuk dijadikan modal politik.

“Dia adalah ‘tokoh manipulator’ yang suka buat tuduhan tanpa bukti,” katanya.

Sambil menyifatkan isu tersebut amat menyentuh jiwanya kerana membabitkan ibunya, Zambry menjelaskan bahawa langkah kerajaan mengambil tanah tersebut adalah untuk tujuan menyelesaikan masalah setinggan di kawasan itu.

“Kerajaan negeri mengambil alih tanah tersebut untuk diberikan kepada lebih 100 keluarga nelayan yang hidup di bawah paras kemiskinan di kampung itu. Secara kebetulan ibu saya juga tinggal di situ. Kami sekeluarga adalah setinggan.

“Apakah sebab Menteri Besar lahir di situ, maka 100 buah rumah penduduk setinggan ini perlu dikorbankan? Jika begitulah pendirian Pasir Panjang, jawablah apabila berjumpa Allah nanti,” katanya.

Jelas Zambry lagi tiga tahun lalu, tuan tanah itu telah meminta kerajaan negeri mengambil tanah tersebut kerana ada pihak lain yang berminat membeli tanah itu.

“Ketika itu, tuan tanah memberitahu beliau tidak akan menjamin keluarga nelayan miskin itu akan kekal di situ jika tanah tersebut dibeli oleh orang lain.

“Jadi, kerajaan negeri ambil keputusan ambil tanah tersebut, bukan hanya melibatkan Yahya tetapi ada tanah-tanah lain juga. Ini bukan kerana semata-mata ia kampung Zambry tetapi nasib semua keluarga setinggan di situ yang telah menetap di tanah itu berpuluh tahun lamanya,” katanya.

Katanya tuan tanah tersebut telah digantikan dengan beberapa tanah lain termasuk wang sebanyak RM400,000.

Menurut Zambry, beliau sudah menjelaskan perkara itu sejak awal lagi tetapi Nizar berkeras mengatakan keputusan mengambil alih tanah tersebut dibuat kerana ibunya tinggal di situ.

Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) kemudian bangun mencelah dan menjelaskan bahawa dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar, Zambry sudah cukup mudah untuk mendapatkan mana-mana tanah di negeri ini bagi memindahkan ibunya.

“Sekiranya, Pangkor menyelesaikan masalah ibunya, orang akan pertikai beliau cuma tolong ibunya, mentanglah-mentanglah dia Menteri Besar,” ujarnya.

Tajol Rosli turut menceritakan kisah Kampung Ramasamy di Gerik yang diduduki oleh 44 keluarga India sedangkan tanah tersebut milik orang Cina.

Menurutnya, pemilik tersebut ingin memajukan tanah tersebut dengan projek perumahan, namun kerajaan negeri menawarkan lot kedai kepada pemilik tersebut sebagai pampasan kepada tanah itu.

“Kita kemudian tawarkan harga kos yang rendah kepada penduduk Kampung Ramasamy untuk membeli rumah di kampung itu,” ujarnya.

Komen & Pendapat

One Comment

  1. RD

    Taklah nak tolong mak sendiri pun tak boleh. Jadi MB tak guna la, kalau dah macam tu. Tak ada isu lain ke yang lebih bermanafaat untuk rakyat. Asyik berpolitik saja. Tak ada langsung bakti kepada rakyat.

Leave a Reply