Perak Hari Ini

Mayat 25 warga Thailand dibawa ke Pangkalan TUDM Subang jam 12.30

Mayat 25 warga Thailand yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Isnin lalu dibawa ke Pangkalan TUDM Subang kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangranata, berkata dua pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Thailand akan digunakan untuk membawa pulang kesemua mayat ke Bangkok yang dijadual berlepas jam 4 petang.

Katanya, empat mangsa cedera ringan, tiga daripadanya akan dibawa menaiki ambulans ke Bukit Kayu Hitam bersama pasukan perubatan dari Thailand yang tiba malam tadi sebelum dirujuk ke Hospital Hatdyai.

Tiga mangsa yang akan dibawa ke Bukit Kayu Hitam ialah, Areena Songserm, 20; Suchancira Chaiaueai, 41; dan Rungnapa Klungusuwan, 53.

“Seorang lagi mangsa, iaitu Pruamalrat Phimpahu,45, akan dibawa ke pangkalan TUDM Subang untuk diterbangkan ke Bangkok bersama dengan 25 mayat mangsa kemalangan maut Isnin lalu,” katanya kepada pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Ipoh, pagi ini.

Katanya, enam lagi mangsa masih menerima rawatan rapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan dijangka pulang ke Bangkok selepas mendapat kebenaran daripada pakar perubatan hospital terbabit.

Sementara itu, Thana merakamkan perhargaan kepada Kerajaan Malaysia di atas segala bantuan yang dihulurkan kepada pihak kedutaan dalam menguruskan penghantaran pulang mayat ke Thailand.

“Saya ingin merakamkan penghargaaan kepada kerajaan Malaysia terutamanya Jabatan Kesihatan negeri dalam menguruskan mayat dan mangsa yang cedera dalam kemalangan tempoh hari.

“Walaupun kejadian ini amat menyedihkan tetapi saya percaya ramai pelancong Thailand suka datang ke Malaysia dan kami berharap keluarga mangsa yang terbunuh dalam mengharungi masa sukar ini dengan tabah,” katanya.

Ditanya kemungkinan waris mangsa akan mengambil tindakan saman terhadap pihak tertentu di Malaysia berhubung kejadian itu, Thana berkata, ia adalah perkara peribadi dan ia terpulang kepada ahli keluarga mangsa itu sendiri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");