Perak Hari Ini

MB dakwa Nizar tak hormat Mufti Perak

Bekas MB terus pertikai kenyataan isu ancak

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, didakwa tidak menunjukkan perasaan hormat kepada Mufti apabila terus mempertikaikan kenyataan dikeluarkan tokoh agama itu serta sanggup memanipulasi fakta semata-mata mahu meraih undi serta simpati masyarakat Melayu di negeri ini.

Malah, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dilihat berterusan menuduh tanpa bukti kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terbabit dengan kegiatan khurafat walaupun Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sudah mengesahkan tindakan Zambry merenjis dan menepung tawar di Manong itu adalah amalan biasa masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syarak selagi tidak diiktiqadkan dengan sesuatu kepercayaan. Zambry berkata, Mohammad Nizar langsung tidak mempunyai perasaan hormat kepada mufti disegani hanya disebabkan kenyataan yang dikeluarkan tidak memenuhi kehendak beliau.

“Saya fikir, dia (Nizar) seolah-olah sedang diserang penyakit kronik tokoh manipulator dan sikap suka melakukan pembohongan. Tindakan beliau dan keghairahan untuk memalukan saya dengan menayangkan gambar saya dan video dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini kononnya saya melakukan upacara ancak sudah memakan dirinya sendiri.

“Dia sendiri membaca definisi kamus mengenai ancak dan jelas upacara itu bukan saya lakukan. Tetapi hari ini dia melakukan pembohongan paling besar dengan kononnya mengatakan dia hanya nak tahu sama ada perbuatan itu syarie atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas penutup Majlis Bengkel Visi dan Strategi Pembangunan Masyarakat Orang Asli di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan Mohammad Nizar dalam satu kenyataannya dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu, semalam yang mengatakan penjelasan Harussani mengenai isu ancak hanya menjaga kepentingan pihak tertentu.
Mohammad Nizar dilaporkan berkata, apa yang menjadi persoalan adalah syarie atau tidak perbuatan itu, bukannya soal merenjis ataupun menepung tawar dalam upacara memasang tiang seri oleh Zambry.

Zambry berkata, tuduhan dilemparkan itu adalah strategi baru pemimpin pembangkang berkenaan dan partinya untuk menagih undi serta simpati masyarakat Melayu akibat semakin kehilangan sokongan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");