Berita Hari Ini

MB Selangor mungkir janji

ABDUL Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman (kanan) untuk diserahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Selangor dari syarikat konsesi di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkir janji apabila membiarkan penyokong-penyokongnya berhimpun dan berarak ke Istana Negara bagi membantah kenaikan 37 peratus tarif air Selangor.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah yang kecewa dengan perkara itu berkata, perhimpunan dan perarakan itu tidak sewajarnya berlaku selepas satu persetujuan dicapai bahawa polis akan mengiringi Abdul Khalid untuk menyerahkan memorandum bantahan kenaikan itu kepada Istana Negara.

Katanya, persetujuan itu dicapai ketika pihaknya menghubungi Menteri Besar Selangor kira-kira pukul 10.20 pagi ini.

“Pihak polis sudah maklumkan tidak akan membenarkan perhimpunan dan perarakan ke Istana Negara kerana boleh menjejaskan ketenteraman awam. Kami boleh membantu mengiringi penganjur iaitu Abdul Khalid untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

“Abdul Khalid bersetuju dengan saranan dan nasihat polis, bagaimanapun selepas beliau selesai solat zuhur di Masjid Negara serta mengadakan sidang akhbar, penyokong-penyokongnya tetap tidak bersurai malah berarak ke Istana Negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkifli menganggap Abdul Khalid telah mungkir janji kerana membiarkan kumpulan penyokong itu berhimpun sejak pukul 11.30 pagi di Masjid Negara.

Beliau berkata, pihaknya telah menunaikan janji terhadap Menteri Besar Selangor itu apabila mengiringi beliau ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut tetapi tindakan Abdul Khalid yang mungkir janji amat dikesali.

Jelasnya, sebilangan daripada ahli kumpulan yang berarak itu cuba menghalang tugas polis dengan membaling batu ketika arahan bersurai dikeluarkan.

“Oleh itu kita terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan semburan air bagi menghalang mereka daripada terus berarak,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan kumpulan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) yang berhimpun di Stadium Merdeka pukul 11 pagi ini kerana mematuhi arahan dan nasihat polis.

Katanya, kesemua ahli GAPS bersurai secara aman sebaik sahaja wakil kumpulan itu diiringi pihak polis ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mengenai 30 penyelewengan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sejak mentadbir negeri itu.

Sementara itu Abdul Khalid ketika ditemui di luar Istana Negara memberitahu, pihaknya berjaya mengumpul 250,000 tandatangan rakyat dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor berhubung kenaikan tarif air di Selangor.

Kesemua tandatangan itu katanya, dikemukakan bersama memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah menerima surat tawaran daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air semalam berhubung penyusunan semula konsesi air Selangor. Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");