Perak Hari Ini

Nizar putar alam

YB  Dato’  Hamidah Osman sedih dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin kerana bertindak mengaitkan ibu Menteri Besar di dalam perbahasan dewan ketika sesi penggulungan Bajet 2011 semalam.

Menurut Hamidah, semasa perbahasan, Mohamad Nizar berhujah seolah-olah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyalahguna kuasa apabila cuba menyelesaikan masalah setinggan di Kampung Masjid, Pulau Pangkor.

“Saya rasa sedih apabila Nizar menuduh Dr Zambry cuba mencari keuntungan untuk ibunya sahaja apabila membincangkan soal setinggan di atas tanah hak persendirian itu.

“Sebenarnya, ibu Dr Zambry adalah salah seorang penetap di situ. Beliau telah menetap di situ lebih 50 tahun. Saya diberitahu Dr Zambry sendiri pun dilahirkan di kampung itu,” kata Hamidah kepada wartawan selepas merasmikan program ‘Khatan Perdana’ DUN Sungai Rapat di Masjid Pengkalan Pegoh, Ipoh, pagi tadi.

Hamidah menjelaskan, Kampung Masjid itu terletak di atas tanah seluas lebih kurang 5 ekar yang dimiliki bersama oleh 12 orang pemilik.

Oleh itu katanya, perbincangan masih berjalan untuk menyelesaikan masalah penempatan penduduk di situ.

“Pada kebiasaannya dalam kes seperti ini kerajaan negeri akan membeli tanah hak milik persendirian itu dan memberikannya kepada penduduk kampung tersebut. Ini yang dikaitkan oleh Nizar dengan ibu Dr  Zambry.

“Ini bukan pertama kali dilakukan oleh kerajaan untuk penduduk kampung setinggan di Perak dan ia bukan untuk menguntungkan ibu Dr Zambry sahaja, malahan keseluruhan penduduk kampung terbabit,” kata Hamidah.

Episod itu, tambah Hamidah, memperlihatkan bukti ketua pembangkang itu adalah ‘tokoh manipulasi’ yang tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua peluang yang ada untuk memutar belit dan memfitnah.

Ibu, menurut Hamidah lagi, adalah insan yang dihormati oleh semua budaya dan agama di dunia ini dan tidak sewajarnya digunakan untuk kepentingan politik sempit seseorang individu.

Di samping itu, Hamidah berkata, tidak kira apa jua usaha yang dilakukan oleh kerajaan, ia tetap tidak betul pada mata pembangkang.

“Bila nak ditolong orang kampung, dikatanya Dr Zambry salah guna kuasa, kalau beliau tak buat apa-apa, nanti dikatanya pula ibu sendiri pun tak mahu ditolong.

“Semua jadi serba salah. Apa yang pasti, kita (kerajaan negeri) mahu lakukan yang terbaik untuk rakyat Perak,” kata Hamidah.

Namun begitu, Hamidah berterima kasih kepada beberapa orang adun pembangkang yang menyatakan mereka tidak bersetuju dengan tindakan Adun Pasir Panjang itu yang mengaitkan ibu Menteri Besar dalam dewan.

“Saya berterima kasih di atas keprihatinan dan menghormati profesionalisme yang ditunjukkan mereka. Mereka nyatakan kepada saya selepas selesai sidang bahawa mereka tidak menyangka Nizar akan bertindak sedemikian,” kata Hamidah.

Dalam pada itu, Hamidah juga menyatakan kegembiraanya kerana perjalanan sidang DUN yang berakhir Jumaat adalah yang paling lancar dan panjang sejak Dr Zambry mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar pada Februari 2009.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");