Perak Hari Ini

Pelaburan swasta dijangka membantu perkembangan ekonomi negeri

IPOH, (Bernama) – Malaysia dijangka menerima pelaburan sektor swasta sebanyak RM86 billion tahun depan walaupun komitmen yang diberikan sektor berkenaan adalah sebanyak RM120 billion, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, sektor berkenaan memberikan komitmen untuk menjana pelaburan sebanyak RM120 billion namun kerajaan secara konservatif mensasarkannya kepada 75 peratus daripada jumlah ramalan tersebut.

“Perkembangan itu cukup baik untuk membantu perkembangan ekonomi negara yang telah disasarkan antara lima hingga enam peratus tahun depan,” katanya selepas majlis penyampaian sijil kepada 150 peserta Bahagian Pendidikan Masyarakat, KEMAS Parlimen Tambun di sini hari ini.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata kerajaan akan terus memberi penekanan kepada perkembangan ekonomi dari dalam negara dengan usaha meningkatkan pelaburan swasta.

Mengulas kebimbangan dengan kelembapan ekonomi dunia berikutan krisis hutang yang melanda Eropah, beliau berkata, kerajaan akan meningkatkan pelaburan domestik dengan mengutamakan peranan atau inisiatif sektor swasta bagi memintas kelembapan tersebut.

Katanya, kerajaan merancang memacu pertumbuhan dari dalam negara dan menarik penyertaan swasta.

Kerajaan juga mengambil inisiatif meningkatkan sistem penyampaian bagi menarik sektor swasta untuk terus memperkembangkan perniagaan mereka, jelasnya.

“Transformasi ekonomi negara yang dirancang lebih awal dengan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) adalah satu cara mewujudkan ekosistem ekonomi bagi menjana pertumbuhannya,” katanya.

Ahmad Husni berkata, kebergantungan kerajaan dalam sektor swasta dilihat sebagai inisiatif proaktif bagi menjayakan Program Transformasi Ekonomi yang menjadi teras MBE itu.

Beliau yakin pelaburan sektor swasta akan terus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dan sekaligus merealisasikan Wawasan 2020.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");