Berita Hari Ini

Pemilihan Umno Ditangguhkan Selama 18 Bulan, Kata PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Pemilihan UMNO bagi peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang dijadualkan diadakan pada tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya keputusan bersama itu dibuat bagi membolehkan UMNO memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Politik Baru iaitu bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

“Ini merupakan peruntukan dalam Perlembagaan parti yang bukan kali pertama tetapi beberapa kali kita gunakan supaya seluruh perhatian dan tenaga kita terarah ke arah memantapkan proses penyediaan pemantapan parti kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT di sini malam Selasa.

Najib berkata UMNO juga tidak mahu menjadikan tahun depan sebagai medan pergelutan politik yang boleh menimbulkan perbalahan dalam UMNO walaupun parti yakin perkara itu dapat dibendung.

“Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti,” katan presiden UMNO itu.

Ditanya sama ada penangguhan pemilihan itu ada kaitan dengan pilihan raya umum ke 13 akan datang, Najib, yang menang tanpa bertanding bagi tempoh pemilihan parti 2008-2011, berkata ia bukanlah sesuatu yang baru.

“Setahu saya sudah tiga empat kali kita pakai peruntukan ini dari dulu lagi, tidak ada masalah yang aneh dan luar biasa,” katanya.

Kali pertama MT UMNO menunda pemilihan parti ialah pada tahun 1999, apabila perhimpunan itu ditangguh hingga Mei 2000 bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya umum 1999.

Mengenai penyusunan semula kepimpinan UMNO peringkat negeri, Najib berkata beliau akan mengumumkan perkara itu sebelum hujung tahun ini kerana memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan beberapa pemimpin tertentu di peringkat negeri.

“Saya telah maklumkan bahawa perkara ini akan dilakukan dan diumumkan sebelum akhir tahun ini dan bukan malam ini, saya perlukan sedikit masa bersama-sama Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung untuk berjumpa dan berunding dengan beberapa pemimpin di peringkat negeri untuk lebih menentukan apakah tugasan dan jangkaan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata penyusunan semula itu mungkin akan membabitkan muka baru dan juga ada pemimpin yang akan dilantik semula.

Ditanya mengenai desas-desus akan berlaku rombakan Kabinet, Najib sekali lagi mengulangi bahawa itu hanya khabar angin dan terpulang kepada individu untuk membuat tafsiran masing-masing.

“Itu semua khabar angin, bila saya kata khabar angin ia boleh jadi betul, ada sesetengah khabar angin boleh jadi tidak betul, terpulang pada tafsiran masing-masing,” katanya.

Perdana Menteri berkata mulai awal tahun depan, semua ketua cawangan dan ketua sayap peringkat cawangan diwajibkan untuk menghadiri kursus parti yang bakal menyaksikan lebih 50,000 pemimpin UMNO diberi latihan.

“Kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan kepada Model Politik Baru yang telah saya gariskan tujuh prinsipnya, dan ini kita akan murnikan lagi dan kita akan terangkan tentang gagasan 1Malaysia dan bagaimana UMNO adalah parti yang mendahulukan rakyat, (menjaga) kepentingan rakyat dan (mementingkan) delivery system (sistem penyampaian) kita,” katanya.

Najib berkata mesyuarat itu juga mengambil maklum berkenaan dengan perkembangan semasa politik negara selain telah menerima laporan mengenai kejayaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi baru-baru ini. “Kita juga ambil maklum bahawa umum berpendapat perkembangan kini menjurus kepada perkembangan yang lebih merangsangkan dan lebih positif, mungkin ini disebabkan dengan langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan menampakkan sedikit sebanyak kejayaan dan penambahan keyakinan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kenaikan harga petrol RON97 yang kini tidak lagi diberikan subsidi oleh kerajaan, adalah berdasarkan kepada harga semasa pasaran dunia dan bukan ditetapkan oleh kerajaan.

“RON97 merupakan sesuatu yang ditentukan oleh pasaran bukan oleh kerajaan, (iaitu) kalau ada kenaikan (harga) disebabkan harga minyak itu naik dan kalau ada penurunan adalah disebabkan harga minyak turun,” katanya.

Harga petrol RON97 dilaporkan naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter mulai tengah malam ini, bagaimanapun harga petrol RON95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter. BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");