Perak Hari Ini

Penduduk perlukan padang untuk riadah

Hampir 3,000 penduduk Kampung Changkat Jong, dekat sini, mahu sebuah padang bagi membolehkan penduduk khususnya generasi muda beriadah, bersukan dan melakukan pelbagai program bermanfaat lain.

Penduduk mendakwa, keperluan padang itu bukan isu baru malah berlarutan sejak 30 tahun lalu, namun mereka terpaksa berputih mata kerana apa yang mereka idamkan, belum menjadi kenyataan.

Ketiadaan padang juga menyulitkan kira-kira 300 murid Sekolah Kebangsaan Changkat Jong (SKCJ) untuk melakukan aktiviti sukan dan olahraga selain remaja untuk bermain bola sepak.

Perkara itu sering menjadi topik perbincangan pada mesyuarat UMNO Cawangan Changkat Jong, mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta Persatuan Ibubaba dan Guru (PIBG) selain dikemukakan kepada pihak tertentu, namun hingga kini tiada tindakan susulan.

Ketua Kampung Changkat Jong, Ahmad Baharom, berkata kawasan berkenaan pernah mempunyai padang permainan yang terletak di hadapan bangunan SKCJ sekitar 1960-an, tetapi sebahagiannya digunakan untuk membina bangunan baru SKCJ bagi menggantikan bangunan lama yang usang.

Katanya, sebahagian lagi padang yang tinggal kemudian diturap tar dan kawasan itu dinamakan ‘Dataran Kejat’ untuk membolehkan aktiviti sukan mini diadakan setiap tahun.

“Penduduk berharap mendapat padang permainan baru, khususnya untuk riadah dan bersukan,” katanya di sini.
Pengerusi Biro Kebajikan JKKK kampung berkenaan, Ramli Yusoff, berkata ketiadaan padang menyebabkan pihak SKCJ tidak dapat mengadakan latihan kepada murid untuk menyertai kejohanan olahraga peringkat daerah atau zon di situ.

“Nasib baik pihak pengurusan Ladang Moccis yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampung kami, membenarkan padang mereka digunakan untuk sukan dan olahraga tahunan murid sekolah,” katanya.

Beliau berkata, remaja dan belia terpaksa melepak dan berpeleseran kerana tiada padang untuk bermain bola sepak dan lebih parah masa lapang itu diisi dengan aksi merempit serta terbabit dalam aktiviti tidak sihat.

Setiausaha JKKK, Jalauddin Hanafiah pula berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tanah seluas 3.2 hektar di tepi jalan raya berhadapan SKCJ yang boleh dijadikan padang.

Katanya, pembukaan padang lebih mudah kerana tanah berkenaan milik Jabatan Pelajaran Daerah Teluk Intan.

“Tanah itu yang ditanam sawit telah diwartakan oleh Kerajaan Perak di atas nama Pelawat Sekolah Perak untuk padang sekolah.

“Selama ini tidak ramai yang tahu tanah itu milik Jabatan Pelajaran Daerah. Jadi selepas ini, pihak JKKK akan memohon peruntukan kerajaan untuk membina padang permainan di atas tanah terbabit.

“Kami berharap masalah ketiadaan padang sejak 30 tahun lalu akan selesai apabila tanah itu dijadikan padang permainan kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");