Perak Hari Ini

Peningkatan sebanyak 0.78% calon PMR yang mendapat A di Perak

Seramai 3,017 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari Perak mendapat A dalam semua pelajaran yang diambil, meningkat 0.78 peratus berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 279 calon mendapat 9A, 2,083 (8A) dan 655 (7A).

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Idris Ramli, berkata dari segi pencapaian sekolah, tujuh sekolah mencatat kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh; Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kuala Kangsar; SM Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping; SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; SM Sains Teluk Intan, Teluk Intan; SMK Taman Tasik, Taiping; dan SBP Intergrasi Gopeng.

Dua sekolah luar bandar turut mencatat keputusan membanggakan iaitu SMK Raja Shahriman, Bruas dan SMK Abu Bakar Al Bakir, Bagan Serai apabila dua dan empat calon dari sekolah itu mendapat 9A.

Katanya, sekolah harian lain yang mencatat keputusan membanggakan ialah SMK Convent Taiping, SMK Tarcisan Convent, SMK Ave Maria dan SMK Convent Sitiawan.

“Seramai 27,105 calon atau 64.8 peratus daripada 41,810 calon yang menduduki peperiksaan PMR telah memperoleh pencapaian minimum D dalam semua mata pelajaran diambil.

“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding 61.38 pada 2009,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar keputusan PMR 2010 peringkat Perak di Ipoh, hari ini.

Dari segi prestasi mata pelajaran, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab menunjukkan peningkatan peratus lulus minimum iaitu dengan masing-masing 1.2 peratus kepada 91.4 peratus tahun ini, 2.6 peratus (73.95) dan 7.27 peratus (77.90).

Namun, mata pelajaran Sejarah menunjukkan penurunan iaitu 0.89 peratus kepada 91.4 peratus manakala bagi subjek Geografi pula, ia menurun kepada 1.94 peratus berbanding 90.25 peratus pada tahun sebelumnya.

Mohd Idris berkata, secara keseluruhannya, keputusan PMR bagi sekolah kendalian Kemnterian Pelajaran di Perak menunjukkan prestasi yang membanggakan khususnya dari segi kualiti, kuantiti dan Gred Purata Sekolah (GPS).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");