Perak Hari Ini

Perak bakal menjadi perkampungan filem

Perak bakal mempunyai perkampungan filem di kawasan seluas 22 hektar berdekatan Gua Tempurung, khusus bagi membantu karyawan seni tempatan mengembangkan industri perfileman di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Aminudin Hashim, berkata projek yang menelan kos RM1.7 juta itu akan dibina tahun depan.

“Bajet 2011 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir baru-baru ini turut memberi fokus kepada pembangunan sektor karyawan seni termasuk perfileman dan sebagai permulaan, kita akan mewujudkan perkampungan filem di sekitar Gua Tempurung.

“Melalui perkampungan ini, kerajaan negeri mahu mengembangkan hasil karyawan tempatan yang mempunyai nama besar seperti Datuk Lat dan Mamat Khalid untuk diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi.

“Sebelum ini, beberapa syarikat di bawah KPerak INC sudah menghasilkan filem menggunakan teknologi animasi canggih antaranya Mantera yang dijayakan oleh Spacetoon,” katanya kepada pemberita selepas tayangan perdana filem Hantu Kak Limah Balik Rumah di Ipoh,semalam.

Tayangan perdana itu turut diserikan dengan kehadiran 30 anak yatim dan miskin dari Pusat Jagaan Nurul Iman Manjoi selain pelakon utama filem itu, Awie, Delimawati dan Shy8.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminudin berkata, dengan wujudnya perkampungan filem itu nanti, ia diharap dapat mengurangkan penggantungan negara kepada filem import, sebaliknya membuka ruang seluas-luasnya kepada anak tempatan untuk mengembangkan karya mereka dalam bidang seni hiburan.

“Ia juga adalah antara empat strategi yang diperkenalkan dalam pelan Perak Amanjaya untuk melahirkan rakyat Perak yang berkualiti dan negeri maju menjelang 2015,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");