Perak Hari Ini

Perak dipilih negeri terbaik RMKe-9

Belanja 93.10 peratus peruntukan pembangunan

IPOH: Perak sudah menggunakan 93.10 peratus atau RM7.63 bilion daripada RM8.2 bilion yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) untuk negeri itu, sekali gus menjadikannya sebagai negeri terbaik melaksanakan projek pembangunan di bawah RMKe-9.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata peruntukan RM8.2 bilion dalam RMKe-9 itu membabitkan 1,649 projek iaitu 1,565 projek fizikal dan 84 projek bukan fizikal sepanjang tempoh 2006-2010.

Katanya, Perak berada di tangga pertama dari segi kejayaan menggunakan peruntukan pembangunan RMKe-9 dengan pencapaian perbelanjaan 93.10 peratus hingga November lalu.

“Kejayaan itu dianggap pencapaian aspek sistem penyampaian iaitu pelaksanaan peruntukan daripada Kerajaan Pusat. Ini pencapaian terbaik di Malaysia dan Perak,” katanya selepas merasmikan Hotel DWJ dan Sambutan Jubli Perak Syarikat Pembinaan CAJ Maju Sdn Bhd di sini, semalam.

Zambry berkata, semua peruntukan bagi 84 projek bukan fizikal sudah dibelanjakan, manakala bagi projek pembangunan fizikal pula hanya sembilan projek terlewat dengan sebahagian besar membabitkan projek pembinaan sekolah.
Katanya, baki projek terlewat adalah projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan satu berkaitan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Sembilan projek berkenaan bukan projek sakit, tetapi lewat kerana masalah teknikal seperti pelan dan susun atur. Masalah itu dijangka dapat diselesaikan.
“Daripada sembilan projek berkenaan, hanya satu projek lewat 47 peratus dan saya sudah arahkan supaya lihat projek itu kerana kita nak tahu mengapa lewat sebegitu,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, bilangan hotel di Bandaraya Ipoh meningkat sejak dua tahun lalu, sekali gus menunjukkan pertambahan pelancong ke Perak dan bandar raya itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");