Perak Hari Ini

Perak naik kadar royalti balak

IPOH 10 Dis. – Kadar royalti kayu balak, premium dan caj-caj hutan lain di negeri ini akan dinaikkan berkuat kuasa Januari depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar).

Tindakan tersebut katanya, perlu sebagai salah satu langkah kerajaan negeri meningkatkan kutipan hasil memandangkan kadar sedia ada telah diguna pakai sejak 20 tahun lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut berkaitan kenaikan tersebut.

“Pengeluaran kayu balak di Perak dijangka semakin berkurangan dan penguatkuasaan kenaikan kadar royalti kayu balak merupakan salah satu langkah kerajaan untuk tujuan meningkatkan kutipan hasil.

“Bagi menjamin negeri Perak tidak mengalami kekurangan yang besar dalam kutipan hasil hutan, kadar baru bagi royalti kayu balak, premium dan caj hutan lain telah diterima pakai untuk dilaksanakan di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari 2011,” katanya.

Zambry berucap pada majlis Anugerah Sektor Perhutanan Negeri Perak 2010 yang berlangsung di sini, malam tadi.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim dan Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Nik Mohammad Shah Nik Mustafa.

Zambry berkata, Perak sehingga kini masih dapat mengekalkan kawasan hutan hampir separuh atau 50 peratus daripada keluasan negeri yang mana kira-kira 96 peratus atau 991,436 hektar kawasan itu telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta kepada Jabatan Perhutanan negeri yang telah diluluskan dalam pembentangan bajet baru-baru ini.

Menteri Besar berharap kakitangan jabatan tersebut dapat terus meningkatkan kecemerlangan dalam melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");