Berita Hari Ini

Persoal sikap diam pemimpin PKR

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Tindakan berdiam diri pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap pemalsuan tanda tangan bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Salehuddin Hashim menimbulkan tanda tanya terhadap ketelusan parti tersebut seperti yang selalu dicanangkan oleh para penyokongnya.

Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd. Nazmi Rosli berkata, sikap berdiam diri itu tidak sepatutnya berlaku kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan besar dan dianggap sebagai jenayah.

Jelasnya, sewaktu mula- mula perkara berkaitan keahlian bekas Timbalan Setiausaha Agung parti, S. Jenapala dibangkitkan, Dr. Syed Husin Ali selaku Timbalan Presiden ketika itu mengeluarkan kenyataan bahawa Jenapala bukan lagi ahli PKR.

“Persoalan timbul apabila Salehuddin membuat laporan polis mengatakan beliau tidak menandatangani surat pemecatan itu. Soalnya, dari mana Syed Hussin mendapat kepastian mengeluarkan kenyataan seperti itu?

“Ia jelas merupakan suatu kesalahan kerana memalsukan tanda tangan tetapi tiada pula pemimpin PKR bersuara termasuk Timbalan Presiden yang baru, Azmin Ali serta Naib Presiden yang boleh dianggap paling kanan, Nurul Izzah Anwar,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Salehuddin dalam laporan polisnya 26 November lalu mendakwa tanda tangannya telah dipalsukan untuk meluluskan surat pemecatan Jenapala bertarikh 2 Februari 2009.

Surat itu telah digunakan oleh Setiausaha Agung PKR sekarang, Saifuddin Nasution Ismail sebagai bukti pemecatan keanggotaan Jenapala dalam PKR untuk menghalang Jenapala daripada bertanding dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Nazmi menambah, beliau tidak hairan sekiranya Presiden Parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak bercakap apa-apa mengenainya kerana beliau sememangnya hanya membuka mulut sekiranya disuruh.

“Peliknya, Azmin pun diam seribu bahasa. Anwar pula tidak langsung menegur perbuatan Azmin yang tidak bercakap mengenainya. Mengapa ini berlaku.

“Saya cabar Nurul Izzah selaku Naib Presiden mengambil tindakan mengenainya atau sekurang-kurangnya mendesak Azmin berbuat demikian. Jika tidak, beliau sepatutnya mendedahkan apa istimewanya hubungan Anwar dan Azmin hingga ‘anak emasnya’ itu tidak boleh ditegur,” ujarnya.

Menurutnya, jika perkara sejelas itu sekali pun tidak diambil tindakan, maka tidak mustahil pemilihan parti baru-baru ini sememangnya dimanipulasi pihak tertentu seperti didakwa ahli parti sendiri.

“Sebagai contoh, pemilihan di Cabang Kota Raja berlaku kekecohan dan biasanya tempat yang berlaku kekecohan akan diadakan pengundian semula.

“Tetapi di Kota Raja, pengiraan undi diteruskan di Pejabat Pusat PKR di Tropicana City. Para penyokong PKR perlu menilai semua ini,” katanya. Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");