Berita Hari Ini

Pesawat Sewa Khas Ali Rustam Kena Tahan Di Airport Surabaya

Melaka hari ini meminta Kedutaan Malaysia di Indonesia menyiasat punca yang mendorong Tentera Nasional Indonesia (TNI) menahan pesawat Heritage Air yang membawa rombongan kerajaan negeri di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, makluman awal yang diterima oleh pihaknya menyatakan, TNI bertindak demikian ekoran juruterbang pesawat tidak mendapat kebenaran mendarat di lapangan terbang itu.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengarahkan agar tindakan yang sama turut diambil oleh pihak pengurusan syarikat penerbangan terbabit bagi menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan.

“Saya juga tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku tetapi juruterbang pesawat memaklumkan dia sudah mendapat kebenaran pihak lapangan terbang untuk mendarat di situ bagi mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada majlis perasmian Kilang Auo Sunpower Corporation Sdn. Bhd. oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Perindustrian Rembia di sini hari ini.

Auo Sunpower beroperasi di kawasan seluas 172.8 hektar dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM3.2 bilion.

Mohd. Ali mengulas akhbar dalam talian Kompas.com semalam mengenai tindakan TNI menahan pesawat sewa khas jenis BAE 146-200 yang dinaiki sejumlah rakyat Malaysia di lapangan terbang Surabaya semalam.

Kata beliau, pesawat tersebut dinaiki 82 penumpang dengan 20 daripadanya termasuk beliau; isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan seorang anak lelakinya serta pegawai kerajaan negeri dalam perjalanan dari lawatan kerja selama dua hari di Timor Leste.

Menurutnya, setelah setengah jam ditahan oleh TNI, beliau terpaksa mendapatkan bantuan pihak kedutaan Malaysia di negara itu bagi membolehkan beliau segera pulang bagi membuat persiapan terakhir lawatan Perdana Menteri di Melaka hari ini.

“Mujurlah melalui bantuan pihak kedutaan, enam daripada kami dibenarkan pulang ke tanah air dan tiba kira-kira pukul 12 tengah malam tadi manakala penumpang lain dibenarkan pulang kira-kira tiga jam selepas itu (pukul 2.30 pagi),” katanya.

Menurut beliau, pihaknya merasakan insiden tersebut kemungkinan berlaku disebabkan salah faham yang mungkin timbul antara juruterbang dan pihak keselamatan lapangan terbang terbabit.

Ini kerana, katanya, tiada masalah berlaku ketika pesawat mula mendarat di lapangan terbang namun insiden itu mula timbul setelah juruterbang membenarkan penumpang keluar dari pesawat.

Bagaimanapun, ujar Mohd. Ali, insiden yang berlaku tidak akan menjejaskan hubungan satu rumpun antara Malaysia dan Indonesia malah menjadi pengalaman berguna kepada kerajaan negeri dalam membuat persediaan menggunakan pesawat khas penerbangan pada masa depan. Malaysia Instinct

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");