Perak Hari Ini

Program 100 hari, BN gelabah?

Program 100 hari yang digariskan sempena Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Ahad lalu mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan dilihat menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden dan Timbalan Presiden mereka.

Ketua Sekretariat PR Negeri, Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata, sejak tawaran 100 hari kepada rakyat jika PR berjaya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, pemimpin BN semakin gelabah dan mula memberi jawapan memperlekehkan tawaran berkenaan.

Menurutnya, tawaran itu tidak mengambil kira pelbagai tawaran lain dalam buku yang menjadi topik perbahasa dalam konvensyen sehari itu.

“Kenyataan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Program 100 Hari bertujuan menipu rakyat adalah memperlihatkan kedangkalan beliau, sepatutnya dilaksanakan oleh Kerajaan BN.

“Lebih lucu apabila Muhyiddin menganggap kenyataan PR itu sekadar umpan untuk menarik pengundi dengan bermacam-macam tawaran istimewa tanpa membuat perkiraan betul terutama dari segi kewangan dengan menyifatkan PR tidak mempunyai pengalaman mengepalai Kerajaan Pusat berikutan setiap keputusan memerlukan kajian, penelitian dan kesan tempoh masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Khalil Idham berkata, perlulah ditegaskan bahawa tawaran itu adalah sesuatu yang telah dibuat setelah mengambil kira berbagai aspek kemampuan kewangan negara hasil dari kajian sebuah panel dan pakar ekonomi dilantik.

Katanya, tawaran itu juga mengambil kira pengalaman di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR sehingga sekarang iaitu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta sebelum itu kita buktikan semasa 11 bulan berkuasa di Perak.

“Adalah diakui pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin adalah dalam kotak pemikiran pemimpin BN yang berbelanja boros dan tidak mengutamakan sesuatu projek yang perlu diutamakan.

“Pemimpin BN lebih bangga dengan projek mega dari memberi subsidi kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sikap mementingkan kroni dan rasuah serta penyelewengan sehingga berbilion wang negara lesap begitu sahaja memastikan kegagalan usaha memulihkan ekonomi negara yang semakin tenat.

“Kerana itu janji 100 hari hanya mampu dilaksanakan oleh PR dengan menjanjikan penghapusan menyeluruh rasuah secara serius serta mengutamakan rakyat dan berhemat dalam berbelanja.

“PR akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama,” katanya.-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");