Perak Hari Ini

Pungutan pecah panggung Hantu Kak Limah!

PANGGILAN telefon dari HIP dijawab dengan gelak ketawa oleh Mamat Khalid, tengah hari semalam. Cukup difahami kerana pengarah kreatif itu tentu sekali gembira dengan sambutan diberikan peminat terhadap filem terbarunya, Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mula menemui penonton 9 Disember lalu.

Selepas dua hari tayangan, filem yang berkonsepkan komedi seram itu berjaya memungut lebih RM1 juta, menjadikannya filem arahannya yang terbaik dari segi pungutan buat beberapa hari pertama tayangannya. Zombi Kampung Pisang yang ditayangkan pada April 2007 ialah filem terbaiknya sebelum ini, apabila memungut kira-kira RM2.8 juta.

Mamat sendiri berasakan, pungutan Hantu Kak Limah Balik Rumah akan terus meningkat, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, seterusnya mengatasi pencapaian dilakukan Zombi Kampung Pisang tiga tahun lalu. Apatah lagi ketika ini ramai peminat yang masih bercuti.

“Ramai peminat yang sebenarnya menonton filem ini sebanyak dua kali kerana mereka menggemari elemen hiburan yang kami muatkan di dalamnya. Faktor hiburannya kali ini, yang begitu mudah, dilihat cukup menepati kehendak penonton kita.

“Saya sendiri berada di TGV Ipoh, semalam (Sabtu), untuk mengadakan promosi dan membuat tinjauan di sana. Kami mendapati, ramai penonton filem Melayu yang sudah lama tidak masuk panggung, kembali ke pawagam kerana Hantu Kak Limah.

“Kami berasakan, elemen hiburan yang mudah serta unsur komedi yang kuat membuatkan mereka seronok menontonnya. Saya sendiri secara diam-diam masuk ke panggung dan mendapati mereka ketawa tidak henti-henti dari awal tayangan sehingga ke penamat. Ia sesuatu yang cukup melegakan hati,” katanya.

Menurut Mamat, Hantu Kak Limah menampilkan lebih elemen seram dan komedi, berbanding filem pertama, Zombi Kampung Pisang.
“Saya juga menghasilkan filem ini dengan lebih teliti, berdasarkan teguran yang diterima daripada filem pertama dulu,” katanya.

Biarpun dia berasakan sudah pun menemui formula terbaik untuk menggamit perhatian peminat menonton filemnya, tetapi Mamat tidak akan hanya menghasilkan filem sebegini pada masa depan. Sebagai pengarah, masih banyak genre yang ingin diterokainya termasuk filem berkonsepkan remaja serta aksi.

Filem seterusnya garapan Mamat yang akan memasuki panggung ialah Apokalips, yang dijangka menemui penonton pada Jun 2011. Berbeza dengan Hantu Kak Limah, filem ini lebih terarah kepada golongan penonton muda, dengan konsep aksi.

Ketika ini, Mamat juga dalam proses ‘memujuk’ Tayangan Unggul untuk memberikan lampu hijau buat filem Zombi Kilang Biskut, diikuti filem ketiga dalam siri Kampung Pisang, Zombi Ultimatum. Zombi Kilang Biskut ialah filem serpihan daripada siri filem Kampung Pisang. Kedua-dua filem terbabit dijangka dirakam pada tahun depan.

“Dalam masa terdekat, saya juga berharap dapat menghasilkan filem epik, Ngah Zain, menerusi dana filem kenegaraan,” kata Mamat sambil memaklumkan, segala tekanan dihadapi akibat kegagalan filem Estet kini sudah pun hilang, dengan sokongan cukup baik diberikan kepada filem komedi seram lakonan Awie, Ummi Nazeera, Delimawati, Zami Ismail, Shy8, Johan Raja Lawak, Avaa Vanja dan Nadia Mustafar itu.

Tegasnya, Estet yang memungut kira-kira RM600,000 dilihat sebagai sebuah filem yang menerapkan unsur perpaduan, walaupun masih kental dengan elemen komedi. Faktor itu mungkin menjejaskan minat orang ramai untuk menontonnya, berbanding filem Hantu Kak Limah yang mengetengahkan elemen seram dan komedi.

“Sebenarnya, bukan saya sengaja hendak menghasilkan filem zombi, tetapi saya sudah tak larat hendak menepis permintaan peminat orang ramai yang rata-rata masih mahu berhibur dengan judul atau tema sebegitu. Jadi, tatkala pengarah lain tidak membikin filem sedemikian, biarlah saya yang menghasilkannya,” ujar Mamat yang tidak menolak tanggapan minat masyarakat kini lebih terarah kepada filem komedi seram, sebagaimana yang dibuktikan filem Ngangkung, terbitan MIG.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");