Berita Hari Ini

Semakan tarif elektrik ditangguh

SHAH ALAM 9 Dis. – Semakan kadar tarif elektrik ditangguhkan dan ia hanya dibuat apabila persekitaran kondusif, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

”Sekiranya kita melakukan semakan dan menaikkan kadar tarif ia akan memberi kesan kepada kos kehidupan dan pelbagai lagi.

”Justeru, kerajaan telah menangguhkan (semakan) dan akan memberi lampu hijau jika keadaan sesuai,” katanya ketika ditemui semasa menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara i-City dan HDC Data Centre di sini hari ini.

Beliau menambah, kerajaan secara prinsipal telah bersetuju untuk menyemak tarif elektrik memandangkan kenaikan kos dan harga minyak.

”Kabinet cuma tidak setuju cara pelaksanaannya (kenaikan tarif). Sebab itu, kami telah diminta supaya menangguhkan sehingga kerajaan berasakan kenaikan tersebut perlu,” tambah beliau.

Fah Kui berkata, terdapat banyak isu yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan sebelum menentukan semakan tarif elektrik dibuat.

Bagaimanapun, Kabinet tidak menetapkan sebarang jadual untuk semakan itu.

Semalam, Fah Kui berkata, dalam Pelan Transformasi, kerajaan mahu mengurangkan pembiayaan subsidi, contohnya kos minyak petrol.

Kerajaan juga telah membuat keputusan membenarkan Tenaga Nasional Bhd. membuat semakan tarif elektrik tetapi ia tidak disahkan lagi.

”Selagi kami tidak menerima sebarang tarikh daripada Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, saya tidak boleh berbuat apa-apa,” jelasnya.

Mengulas mengenai usaha menyelamatkan Syarikat Bekalan Air Selangor, beliau berkata: ”Tiada apa yang perlu diselamatkan. Mengapa anda menyifatkan ia sebagai usaha menyelamat dan menimbangkannya untuk diselamatkan”.

”Apa yang kita lakukan sekarang adalah untuk membantu rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya memperoleh bekalan air mencukupi.

”Sekiranya saya tidak mahu membantu mereka, industri-industri akan lumpuh,” tegas beliau.

Pada masa sama, Fah Kui berkata, beliau hampir bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim isu air akan diselesaikan pada akhir tahun ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");