Berita Hari Ini

Sokongan Rakyat Kepada BN Semakin Pulih: Najib

PHNOM PENH, 2 Dis (Bernama) – Sokongan rakyat kepada Barisan Nasional semakin pulih setelah kerajaan menunaikan janji-janji pilihan rayanya dan komitmen yang diberikan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata tanda-tanda awal juga menunjukkan bahawa rakyat menerima baik pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan BN bagi memenuhi kehendak dan harapan mereka.

“Apabila kita kotakan janji-janji pilihan raya dan komitmen kita, kewibawaan kita, dari kaca mata rakyat, sudah meningkat,” katanya dalam ucap utama pada perhimpunan agung keenam Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di sini Khamis.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata keputusan sebenar sama ada BN telah memenuhi harapan rakyat akan hanya diketahui daripada keputusan pilihan raya umum akan datang.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian apabila ditanya sama ada BN boleh merasa lega sekarang hasil daripada petanda-petanda awal itu, beliau berkata BN tidak boleh berasa lega sekarang, sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi.

Ditanya mengenai pilihan raya umum akan datang berikutan petanda-petanda awal tersebut, Najib berkata: “Itu bukan petanda awal tapi ia (pilihan raya umum) boleh jadi awal, boleh jadi lewat…biasalah.”

Menjawab soalan lain, Najib berkata: “Keputusan muktamad…bila sampai masanya, boleh jadi cepat, boleh jadi lambat. Biasalah.”

Ketika berucap pada perhimpunan agung itu mengenai usaha BN mendapatkan balik sokongan rakyat yang terjejas semasa pilihan raya umum 2008, Perdana Menteri berkata BN perlu menunaikan segala janjinya dan perlu juga dilihat sebagai memenuhi semua keperluan rakyat.

Beliau memberitahu lebih 300 pemimpin kanan parti-parti politik dari 51 negara di rantau ini bahawa dalam pilihan raya 2008 itu, buat pertama kalinya BN tewas di lima negeri dan kehilangan penguasaan dua pertiganya di Dewan Rakyat.

Najib berkata tugas pertamanya apabila mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009, adalah untuk melaksanakan komitmen Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan di bawah gagasan 1 Malaysia.

Sejak itu, katanya, kerajaan BN telah membuka Klinik 1Malaysia bagi menyediakan bantuan dan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat, dan biasiswa 1Malaysia kepada pelajar cemerlang tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya pelbagai skim dan program untuk meningkatkan mutu kehidupan golongan berpendapatan rendah dan bagi membasmi kemiskinan juga diperkenalkan.

Beliau berkata komitmen yang diberikan oleh kerajaan BN termasuk melaksanakan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan tahap kehidupan keluarga berpendapatan rendah, meningkatkan mutu kemudahan asas luar bandar dan menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam di bandar.

Program Transformasi Ekonomi pula diperkenalkan bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi serta inklusif manakala 12 bidang utama ekonomi negara dikenal pasti untuk diberi tumpuan bagi melonjakkan lagi kemajuan negara.

“Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah, di setiap peringkat dalam penyediaan kesemua inisiatif ekonomi ini, orang ramai turut terlibat dalam makmal dan forum untuk membolehkan kami benar-benar menilai harapan mereka dan memenuhi kehendak mereka,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata BN sendiri telah melalui transformasi yang besar dan terus memantapkan kedudukannya seiring dengan perubahan zaman, antaranya dengan meminda perlembagaannya untuk membenarkan kemasukan ahli secara terus dalam gabungan 13 parti itu.

Umno, sebagai parti tulang belakang BN, juga telah meluluskan pindaan kepada perlembagaannya tahun lepas untuk membenarkan ahli di semua peringkat untuk memilih kepimpinan parti.

“Memanglah, ia menjadikan kami lebih terdedah kepada penilaian lebih teliti berhubung tugas kami, dan mendedahkan pemimpin-pemimpin parti termasuk saya sendiri, kepada risiko politik, tetapi pendirian kami ialah bahawa sokongan politik harus dan sepatutnya berdasarkan kepada kemampuan kami untuk bekerja dengan baik.

“Dengan dengan mekanisme ini, kami akan dinilai oleh anggota parti kami sendiri yang dapat melihat sama ada kami layak duduk sebagai pemimpin mereka,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Perdana Menteri berkata beliau membangkitkan perkara-perkara itu kerana berpendapat bahawa adalah amat penting bagi mana-mana parti politik untuk memahami betapa pentingnya mereka membuat perubahan ke arah menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada anggota parti.

Najib juga mengingatkan parti-parti politik mengenai tiga penyakit yang boleh membawa kemudaratan iaitu penyakit enggan bergerak maju serta menolak perubahan, penyakit lupa tujuan asal parti itu ditubuhkan dan penyakit keyakinan palsu bahawa sokongan terhadapnya akan kekal dan dengan itu beranggapan ia akan terus berkuasa.

Katanya banyak parti politik ternama yang dilanda penyakit-penyakit ini yang diburukkan lagi dengan konflik dalaman serta perebutan kuasa sehingga menghancurkan parti itu.

“Kesannya ialah pengundi dan anggota akar umbi akan hilang kepercayaan menyebabkan mereka ini memberikan sokongan kepada kuasa politik alternatif yang mampu memenuhi kehendak mereka,” kata Perdana Menteri. BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");