Perak Hari Ini

TIC bakal bina City Campus

Taj International College (TIC) bakal mengorak langkah untuk mewujudkan City Campus (Kampus dalam Bandar raya) dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengasasnya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, setakat ini, Kerajaan Negeri sudah meluluskan tanah seluas 1.01 hektar di Greentown Business Centre di sini.

Menurutnya, lokasi itu dilihat strategik kerana ia bersesuaian dengan perancangan yang ingin dilaksanakan.

“Bangunan yang bernilai kira-kira RM150 juta ini akan dilengkapi dengan pelbagai prasarana bertaraf kolej antarabangsa.

“Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan juga dijamin mempunyai kualiti setaraf dengan kolej antarabangsa sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Program Latihan Guru Prasekolah Swasta 2010 di Kelab Golf DiRaja Perak, malam kelmarin.

Majlis yang dianjurkan TIC itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Tajuddin berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga sudah meluluskan permohonan pengambilan pelajar antarabangsa bagi menyambung pengajian di kolej itu.

Sementara itu, beliau berkata, TIC menyediakan program bermula dari peringkat diploma sehingga ijazah dan ia mampu berdaya saing dengan kolej lain yang terdapat di negara ini.

“Sasaran TIC seterusnya untuk menjadikan kolej ini sebagai kolej universiti memandangkan jumlah pelajar yang berdaftar kini sudah mencecah 1,000 orang.

“Oleh itu, kami mensasarkan pertambahan pelajar sebanyak 1,500 orang pada tahun hadapan supaya hasrat meningkatkan taraf kolej ini kepada kolej universiti akan tercapai,” katanya.

Katanya, walaupun kolej itu diasaskan kaum Bumiputera namun, komposisi pelajarnya melibatkan pelbagai kaum.

“Kira-kira 30 peratus daripada pelajar terdiri dalam kalangan kaum Cina dan India kerana kami menitikberatkan semangat perpaduan kaum.

“Justeru, pelajar berbilang bangsa boleh bertukar budaya di samping memupuk semangat perpaduan dan toleransi antara kaum melalui pengajian di kolej ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");