Perak Hari Ini

Tugas berat tentu hala tuju Pafa

Tugas memimpin apatah lagi menerajui sebuah persatuan bola sepak bukan mudah. Apatah lagi melibatkan sebuah persatuan yang telah beberapa kali mengalami perubahan tampuk pimpinan dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berhubung reaksi beliau ketika ditawarkan menerajui jawatan berkenaan serta matlamat barisan pengurusan baru Pafa bagi membawa Perak kembali ke landasan kejayaan sebagaimana yang pernah dikecap suatu ketika dahulu.

Apa reaksi Datuk apabila dipilih sebagai Presiden Pafa? Difahamkan ramai yang ‘gentar’ untuk menduduki jawatan berkenaan?

YB ZAINOL: Pertama sekali saya sendiri tidak pernah menjangkakan atau tidak pernah mengimpikan bahawa satu hari nanti saya akan menjawat jawatan itu (Presiden Pafa) dan saya kini adalah Presiden Pafa iaitu persatuan bola sepak negeri. Pastinya, ia bukan sesuatu yang menyeronokkan kerana saya sedar saya akan membawa harapan menggunung daripada rakyat di negeri ini, khususnya dari peminat atau penyokong bola sepak tempatan. Ianya juga satu perkara baru untuk saya sebagai peminat bola sepak itu sendiri. Bukan mudah untuk saya menerima tanggungjawab ini, tetapi bagi saya, seseorang perlu ada pada jawatan berkenaan, khususnya bagi membuat atau menentukan segala keputusan dan saya menganggap saya perlu melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Bagaimana Datuk mengimbangi tanggungjawab dan peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Presiden Pafa. Tidakkah ianya mengganggu atau mencuri masa Datuk?

YB ZAINOL: Sebenarnya dalam apa sahaja jawatan yang disandang, kita perlu memberi keutamaan dan meletakkannya pada tanggungjawab berkenaan. Bagi saya semua tanggungjawab sebagai ADUN, Exco mahupun Presiden Pafa ini perlu saya laksanakan sebaik mungkin. Sebagai contoh, dalam struktur pentadbiran di Pafa, kita mempunyai Naib Presiden, Ahli Eksekutif, Ahli-Ahli Majlis dan sebagainya, termasuk bekas pemain bagi menggalas tanggungjawab yang diberi. Semua ini dilihat membantu terutamanya Pafa memiliki bangunannya sendiri dan lebih memudahkan lagi segala soal pengurusan untuk dikendalikan. Dengan ini saya rasa tanggungjawab ini tidaklah begitu membebankan dan saya yakin dapat memberi sumbangan dalam usaha memajukan bola sepak Perak.

Sebagai Presiden Pafa, apakah matlamat utama yang telah dirancang iaitu sebagai contoh, bagi mengatasi beberapa masalah dalaman Pafa.

YB ZAINOL: Antara matlamat utama saya ketika menerima jawatan Presiden Pafa adalah bagi menyelesaikan beberapa masalah seperti gaji dan beberapa masalah lain. Biarpun baru beberapa bulan menerajui Pafa, semua perancangan dalam usaha menyelesaikan masalah berkenaan telah pun menampakkan tanda positif. Semuanya adalah hasil kerjasama pentadbiran serta pengurusan Pafa sendiri termasuk hasil kerja keras Ahli Majlis. Bagi saya, semua pihak seperti pemain, pemimpin, pihak pengurusan termasuk peminat atau penyokong, mempunyai peranan masing-masing. Semua pihak perlu bersatu hati dan sentiasa melihat ke hadapan dan meninggalkan segala perkara atau permasalahan lalu. Sebagai contoh, pada musim ini, kita telah memperkenalkan kad semusim demi memudahkan orang ramai untuk hadir dan menonton perlawanan-perlawanan membabitkan skuad Perak di stadium. Ini juga dilihat sebagai antara kaedah bagi menarik semula kehadiran penonton ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan. Bagi saya ini adalah antara idea baru yang diimplementasikan bagi menjayakan lagi usaha berkenaan.

Boleh Datuk berikan gambaran berhubung sasaran skuad Perak untuk sekurang-kurangnya memenangi satu piala dalam saingan Liga Malaysia kelak.

YB ZAINOL: Sudah tentu Pafa memiliki sasarannya sendiri dalam saingan Liga Malaysia, tetapi sebagai presiden, apa yang boleh saya katakan, biarlah sasaran yang kita tetapkan itu adalah sesuatu yang realistik. Seperti yang kita semua maklum, pada musim ini skuad Perak berwajah baru biarpun dibarisi pemain-pemain yang dikenali ramai. Pastinya pembentukan sebuah skuad baru yang menggabungkan kesebelasan pemain muda dan pemain-pemain senior seperti ini memerlukan sasaran-sasaran tertentu dalam tempoh jangka panjang dan jangka pendek. Bagi musim 2011 ini, Pafa menetapkan sasaran untuk Perak menduduki kelompok lima pasukan terbaik dalam Liga Super. Sasaran berkenaan dibuat kerana jika diperhatikan, di situlah kedudukan skuad Perak pada tahun-tahun sebelum ini. Pada tahun berikutnya, kita sasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala dan begitulah pada tahun-tahun berikutnya untuk menambah lagi koleksi piala yang dimenangi. Saya juga menaruh keyakinan dengan barisan baru yang dilantik dari segi pengurusan, jurulatih termasuk para pemain bagi musim 2011 ini dan yakin Perak akan menghasilkan kejayaan musim ini atau sekurang-kurangnya mengikut sasaran yang telah ditetapkan.

Apakah harapan Datuk kepada para peminat dalam membantu semula kebangkitan skuad Perak dalam arena bola sepak tanah air.

YB ZAINOL: Sebagaimana kita semua tahu, Perak pernah berada di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Perak juga sering melahirkan pemain-pemain berbakat. Kesimpulannya, kita pernah berada di puncak. Pada ketika itu, Stadium Perak sering dibanjiri dengan kehadiran ribuan peminat atau penyokong dari serata negeri. Tetapi kini, stadium kebanggaan kita ini, lengang dan boleh dikatakan tidak ramai yang hadir bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan membabitkan skuad Perak, dan antara faktor utama adalah berkaitan dengan prestasi skuad Perak itu sendiri. Oleh itu, kita akan cuba akan cuba mengembalikan suasana berkenaan dengan membentuk skuad yang mantap bagi bersaing dalam Liga Malaysia kelak. Saya yakin bahawa masih ada kelompok peminat yang dahagakan kejayaan Perak. Sebagai contoh, pada perlawanan persahabatan sebelum ini, saya melihat ramai yang datang ke stadium bagi memberi sokongan kepada skuad Perak. Kami di Pafa, akan cuba lakukan yang terbaik dan berharap para pemain juga akan dapat mempamerkan mutu permainan mantap bagi menarik kembali kehadiran peminat atau penyokong ke stadium.-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");