Kolumnis

ULAMANYA ADALAH SEJAHAT-JAHAT MAKHLUK DI BAWAH LANGIT

Pastinya anda sering mendengar alasan yang diberikan oleh para penguasa PAS apabila mereka ditekan kerana memberikan peruntukan dan bantuan yang lebih banyak kepada tokong, kuil dan watt berbanding membina masjid, madrasah, surau atau mussolla. Alasan yang paling sangat kerap mereka berikan adalah, ‘Apalah gunanya masjid yang besar, tetapi isinya kosong.’

Dan biasanya, apabila mereka menuturkan kata-kata sebegitu, pastinya kata-kata tersebut terpaksa ditelan,dihadam dan dijadikan darah daging oleh sesiapa sahaja yang cuba berhujah dengan mereka.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Akan datang suatu masa yang menimpa manusia; tidak ada Islam kecuali tinggal namanya sahaja, tidak ada al Quran kecuali tinggal tulisannya sahaja, masjid-masjid mewah tetapi kosong daripada petunjuk serta ulamanya adalah orang yang paling jahat yang berada di bawah langit….” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Masjid secara bahasa mudahnya adalah bermaksud tempat bersujud. Di Malaysia, penekanan terhadap harfiah masjid membawa maksud tempat melakukan ritual ibadah umat Islam terutama sekali untuk solat Jumaat. Dan kerana itulah, pembinaan masjid perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama, tidak boleh sesuka hati pembinaannya. Malah ianya perlu didaftarkan bagi mengelakkan maslahat.

Dek kerana kejahilan, ada orang PAS yang menggunakan mafhum hadis di atas sebagai senjata mereka apabila gelagat PAS Kelantan yang menguasai kerajaan negeri diungkit. Dan kerana kejahilan jugalah, mereka mengambil maksud hadis berkenaan secara harfiah dan menakwilkan perkataan yang membawa maksud ‘masjid-masjid mewah tetapi kosong’.

Sememangnya Rasulullah s.a.w tidak pernah berdusta bahkan sesiapa sahaja yang mengatakan Rasulullah s.a.w berdusta atau bercakap lawak, sesungguhnya orang berkenaan adalah orang sangat rendah imannya dan sentiasa ragu-ragu dalam Siddiq, Amanah, Tobligh dan Fatonahnya Muhammad s.a.w dan para rasul sekaliannya. Perlu diingat, Nabi s.a.w tidak pernah bergurau senda ketika mendidik para Sahabat r.a dalam memahami dan mengukuhkan kefahaman akidah mereka kepada Allah Taala dan rasul-Nya.

Justeru, apabila Rasulullah s.a.w bersabda bahawa pada suatu masa kelak (sekarang pun ianya sudah berlaku) Islam hanya tinggal nama, Al Quran hanya tuisan di atas lembaran kertas, masjid-masjid mewah tetapi kosong, sudah pasti ianya mempunyai kaitan yang sangat besar dengan ‘ulama-ulamanya adalah orang yang paling jahat berada di bawah langit’.

Perhatikan sahaja kecenderungan puak-puak lebai PAS yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menakluk masjid, surau, madrasah mahupun mussolla. Mereka mengisbathkan bahawa perbuatan mereka adalah bertujuan untuk mengimarahkan rumah Allah dengan membuat aktiviti yang bertopengkan keislaman. Mereka bertazkirah, mereka bertahrim, mereka berbayan, mereka berqiamullail dan sebagainya, tetapi para pemimpin aktiviti-aktiviti berkenaan, mestilah orang mereka sendiri. Mereka tidak akan sanggup untuk menerima orang lain, mahupun pendapat yang menyalahkan amalan mereka.

Untuk menarik minat dan menyebarkan propaganda, mereka akan melabelkan para pemimpin mereka sebagai ULAMA. Selain daripada pemimpin mereka, terutama golongan yang faqih agama tetapi bertentangan dari segi ilmu dan amaan dengan pemimpin ULAMA mereka, semuanya adalah tidak benar. Segala penyampaian ilmu yang tidak berlandaskan kepada propaganda PAS adalah ANJING UMNO.

Dan dengan menggunakan kelebihan gelaran ULAMA, maka sebahagian daripada jahilun di dalam PAS mula memperkecil-kecilkan ilmuwan yang lain, tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya adalah ULAMA-ULAMA dan golongan faham agama yang su’ (keji). Kerja mereka bukanlah menyebarkan dakwah Islamiyyah sebaliknya mereka menyebarkan kerosakan dalam masyarakat seperti mengecap golongan yang tidak sefahaman dengan pelbagai gelaran yang sangat menjijikkan. Bahkan mereka mengangkat diri dan pengetahuan mereka setinggi-tingginya.

Ulama yang dimaksudkan di dalam hadis di atas adalah ULAMA SU’. Dan bertepatan dengan tafsiran SU’, kebanyakan pemimpin PAS kerjanya adalah merosak, mengacau, mengadu domba dan menyesatkan umat. Mereka berlisan dan berpakaian seperti ulama, namun perbuatan, ajakan dan hati mereka jahat.

Sama ada kita sedar atau sebaliknya, mereka adalah penerus ulama-ulama su’ pada zaman dahulu. Ulama-ulama su’ mengajarkan tipu daya untuk mencari celah-celah hukum Allah Taala, sehingga mereka boleh membolot harta dan kuasa secara batil. Mereka akan mengeluarkan pelbagai hukum dan kaedah dengan menukar sebahagian daripada kaedah dan usul agama yang tulen, berdasarkan hawa nafsu untuk membolehkan mereka memperolehi kuasa menerusi sokongan dan pengaruh, seperti yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubay bin Sahul laknatullahi alaih.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Akan muncul pada akhir zaman, golongan yang mencari dunia dengan agama. Di hadapan manusia, mereka memakai pakaian daripada bulu kambing untuk memberi kesan kerendahan hati mereka, lisan mereka lebih manis daripada gula namun hati mereka adalah hati serigala (sangat suka harta dan kedudukan).” Firman Allah, “Apakah dengan kasih-Ku (kasih dan kesempatan yang Aku berikan), kamu tertipu ataukah kamu berani kepada-Ku. Demi Diri-Ku, Aku bersumpah, Aku akan mengirim bencana dari antara mereka sendiri yang menjadikan orang-orang santun menjadi kebingungan (apalagi selian mereka) sehingga mereka tidak mampu melepaskan diri darinya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Ulama su’ adalah ulama yang paling rendah tingkatannya, paling buruk dan paling keji. Mereka adalah golongan alim yang tidak mengamalkan ilmunya sesuai dengan kehendak Islam, tetapi mengajarkan perkara-perkara yang boleh memberikan keuntungan kepada mereka. Dan sekalipun mereka mengajarkan sesuatu ilmu, ia pasti akan ditalakan khusus untuk kedudukan mereka dan kelompok yang mereka sokong.

Dalam tdak sedar, mereka lebih cenderung untuk mengajak kepada kejahatan dan kesesatan dalam usaha mencari kedudukan buat diri dan kelompok. Mereka kerap kali memutarbelitkan kebenaran dengan gambaran kebenaran. Sesungguhnya, mereka tidak lain dan tidak bukan adalah para wakil Dajjal Al-Masih di dunia ini dan khalifah syaitan yang cuba mendapatkan hak imamah dengan bantuan Iblis laknatullah.

Ada juga kalangan ulama su’ yang mengajak kepada kebaikan, tetapi tidak pernah menunjukkan teladan. Dek kerana itu, Ibnul Qayyim berkata, “Ulama su’ duduk di hadapan pintu syurga dan mengajak manusia untuk masuk ke dalamnya dengan ucapan-ucapan dan seruan-seruan mereka. Dan mengaak manusia untuk masuk ke neraka dengan perbuatan dan tindakan mereka. Ucapan mereka kepada manusia, “Ke marilah! Ke marilah!” Sedangkan perbuatan mereka berkata, “Jangan engkau dengarkan seruan mereka. Seandainya seruan mereka itu benar, sudah tentulah mereka orang yang pertama sekali memenuhi seruan itu.’ (Al-Fawaid, Ibnul Qayyim, hal.61)

Contoh kewujudan golongan ulama su’ ini cukup banyak. Antaranya, ramai ulama yang di dalam muktamar memperingatkan para hadirin agar patuh kepada perintah Allah Taala yang tertera di dalam al Quran al-Karim dan segala suruhan Nabi s.a.w menerusi sunnah-sunnah baginda. Namun amalan si ulama itu sendiri adalah sebaliknya.

Ada yang memperkatakan tentang perintah Allah Taala dan suruhan Nabi s.a.w agar umat Islam sentiasa bersaudara dan memperkukuhkan persaudaraan itu menerusi amalan masing-masing. Sedangkan ulama terbabit, membuat tafsirannya tentang perpaduan dengan bahasa yang tunggang langgang dan serba terbalik berlandaskan kepada hujah-hujah dangkal bagi menghalang perpaduan umat Islam tetapi pada masa yang sama, berbaik-baik dengan musuh akidah mereka sendiri.

Ada juga golongan ulama yang sangat manis tutur katanya dengan mengaku, tugasnya adalah berdakwah demi kesejahteraan Islam, namun pada waktu yang lian, dia membolehkan malah mengajak untuk memilih orang-orang kafir sebagai pemimpin semata-mata kerana si kafir berkenaan adalah gengnya dalam pakatan sungguhpun si kafir berkenaan sudah berkali-kali dan berterus-terang dalam penentangannya terhadap sebarang syiar dan dakwah Islamiyyah.

Ada yang mengatakan, agama jangan dijual. Ironinya, mereka menggunakan agama untuk memperolehi jawatan, bahkan ada yang menjadikan agama sebagai pendapatan utama mereka menerusi ceramah berbayar dengan bil yang dihantar oleh pejabat mereka. Malah ada juga menulis atau menterjemahkan kitab-kitab yang sangat diperlukan oleh umat dengan memasang perangkap-perangkap kapitalis seperti hak cipta, walha sistem kapital adalah budaya rosak yang cuba dikembangkan Gereja-Gereja semenjak Rom masih berkuasa dengan tujuan menjaga aset dan kekayaan gereja.

Paling menjijikkan apabila ada kelompok yang mengaku mereka sebagai ulama yang mengajak kepada kebaikan tetapi dengan menggunakan kaedah-kaedah fasiq seperti berdakwah dengan fitnah, membuka aib, adu domba, apatah lagi mengada-ngadakan cerita dan berdusta atas nama Allah Taala dan Rasul-Nya. Atau dengan kata lain, mulut mengajak ke syurga tetapi kaki dan tangannya sendiri mengajak orang lain untuk menjadi umat Iblis laknatullah.

Dan tidak kurang juga yang menggunakan kaedah lawak jenaka untuk berdakwah sehingga terkeluarlah ungkapan-ungkapan kotor dan contoh-contoh yang seronok untuk dijadikan daya tarikan wajib dalam cermah. Tema dan isi dakwah pun dipilih agar sesuai dengan selera para pendengar. Mulutnya mengajak kepada iman, namun jenaka dan lawak jenanya melupakan akhirat.

Namun ciri utama ulama su’ ialah mereka adalah pencari redha manusia. Mereka mematuhi nafsu syaitan demi mengejar pengaruh dan kedudukan di mata manusia. Mereka terlupa akan ancaman Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadis yang maksudnya:

Barangsiapa yang mencari redha Allah dengan (risiko mendapat) murka manusia, maka Allah Taala mencukupinya daripada manusia. Dan barangsiapa mencari redha manusia dengan (menyebabkan) kemurkaan Allah Taala, maka Allah Taala menyerahkan dirinya kepada manusia.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi, no. 2419)

Rujukan kepada peringatan Rasulullah s.a.w ini dapat dilihat dengan mudah. Para pemimpin PAS yang menggelarkan diri mereka sebagai ulama, begitu bersungguh-sungguh untuk berdakwah. Malangnya dakwah mereka tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mendapatkan pengaruh dan undi ketika pilihanraya. Mereka menyuguhkan elemen-elemen Islam tetapi hakikatnya mereka tidak lebih daripada ahli politik yang laparkan kuasa tetapi menjadikan agama sebagai alas kaki.

Maka kerana itulah, ulama su’ menjadi perosak agama, pemadam sunnah, pelindung bidaah dan pelopor maksiat. Sesungguhnya tepat benar ungkapan Ibn Mubarak:

“Tidaklah merosak agama itu melainkan para raja, ulama su’ dan para rahibnya.”

Hal ini berlaku kerana manusia itu bergantung kepada ulama (ahli ilmu dan amal), ubbad (ahli ibadah) dan muluk (umara, aghniya‘). Seandainya golongan yang digantung harap itu baik, maka sekalian manusia akan menjadi baik dan sekiranya golongan tersebut rosak, dunia ini pasti akan rosak. (Tafsir Ibn Katsir 2/462)

Ad-Darimi meriwayatkan Umar r.a pernah berkata kepada Ziyad bin Hudair yang bermaksud: “Apakah kamu tahu apa yang merosakkan Islam?” Ziyad berkata, “Tidak.” Umar berkata, “Tergelincirnya seorang alim, debatnya orang munafik dengan ayat al Quran dan (penetapan) hukumnya para imam yang menyesatkan.”
Bahkan dalam sebuah hadis Hudzaifah, ketika dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Sesungguhnya kita dahuu ada dalam kejahilan lalu Allah anugerahkan kepada kita kebaikan ini, maka apakah setelah kebaikan ini ada keburukan?" Baginda s.a.w menjawab, "Ya, para daie di ambang pintu Jahannam. Sesiapa yang mendatangi ajakannya pasti akan mereka dilemparkan ke dalamnya." (Hadis riwayat Al-Bukhari: 7084, dll)
Dengan kata lain ,menerusi hadis Hudzaifah itu, Rasulullah s.a.w telah pun menegaskan bahawa para ulama su' itu sesungguhnya adalah daie-daie neraka. 
Ulama-ulama su' adalah musuh Allah Taala. Mereka begitu keji kerana memutarbelitkan segala urusan dan maslahat sehingga yang hitam menjadi putih dan yang tiada, diada-adakan bagi memenuhi nafsu dan serakah keduniaan mereka. Walaupun mereka sepatutnya menjadi pengajak dan penyeru manusia ke jalan Allah Taala, ternyata mereka memilih untuk menjadi sesat yang menyesatkan, malahan mengajak manusia kepada jalan syaitan. (Daripada ucapan Syaidina Ali r.a, Ad-Dakwatut Tammah, Abdullah Al-Hadrami, hlm. 42)
Ulama su' juga adalah ulama fasiq yang akan dimasukkan Allah Taala ke dalam neraka mendahului para penyembah berhala kerana beratnya kesalahan yang faham tidak sama dengan golongan yang waham. (Mukhtashar Jami' Bayani Ilmi, 164)
Kesimpulannya, seharusnya kita lebih berhati-hati dan tidak mudah diperdayakan oleh golongan yang menggunakan agama untuk mendapatkan kuasa, terutama sekali sebagai wakil rakyat dan penguasa tempatan Terlalu ramai manusia pada zaman ini yang akan sanggup melakukan apa-apa sahaja, hatta mengaku diri dan membiarkan diri dipanggil ulama, semata-mata kerana kelazatan keduniaan.

Ya Allah, jadikanlah manfaat untuk kami apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami dan ajarkanlah terus kepada kami apa yang bermanfaat untuk kami. 
(Sumber rujukan: Al-Fawaid, Ibn Qayyim; Jami' Bayanil Ilmi, ibnu Abdil Bar; Mukhtashar Jami' Bayanul Ilmi. Ahmad bin Umar Al-Bairuti dan beberapa sumber lain)

Penulis: Kelembai Bukit untuk PERAK TODAY

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");