Perak Hari Ini

Wajar atau tidak Pusat Perlindungan Bayi

Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH) menempa sejarah dengan menyediakan Pusat Perlindungan Bayi bagi membendung gejala buang bayi dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Pusat perlindungan sementara itu yang dibuka dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri (JKM) diharap dapat memberi harapan kepada ibu yang tidak bersedia menjaga bayi untuk melihat anak mereka terus hidup dalam persekitaran selamat.

Sehubungan itu, semua pihak harus melihat usaha yang dilaksanakan hospital itu kerana ia dapat menyelamatkan seorang bayi daripada dibuang atau ditinggalkan di tempat yang boleh mengancam nyawa anak kecil terbabit.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penduduk Perak mempunyai pendapat yang berbeza-beza mengenai kewujudan pusat perlindungan bayi berkenaan.

Saya bersetuju dengan usaha yang dilaksanakan hospital terbabit kerana ia sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan nyawa anak kecil yang tidak berdosa. Bagaimanapun, agensi lain seperti polis, sekolah, jabatan agama serta pihak berkenaan harus memainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan gejala buang bayi dari terus berlaku pada masa hadapan,” -Juruhebah, Abd Rani Mohd Taib

Bayi adalah anugerah Allah, justeru pembinaan pusat perlindungan ini dapat menjadi alternatif kepada ibu bapa yang tidak mampu menjaga anak mereka untuk mendapatkan bantuan pihak hospital dan JKM. Sekurang-kurangnya bayi yang ditempatkan di situ selamat daripada ancaman haiwan liar dan binatang buas,” -Kakitangan awam, Nur Zahra Zokronain

Sebagai penduduk negeri Perak, saya berbangga dengan inisiatif dan usaha yang ditunjukkan KPJ-ISH dan JKM untuk membela nasib bayi terbuang daripada menderita di luar sana,”- Kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zulhusni Mohd Mokhtar

Tahniah kepada KPJ-ISH yang mengambil alternatif untuk laksanakan program perlindungan bayi. Saya sendiri mempunyai anak angkat berusia 11 bulan yang pernah menjadi mangsa gejala tidak bermoral itu. Walaupun, pusat perlindungan ini dibina, namun kerajaan harus meneruskan kempen kesedaran dari semasa ke semasa untuk mendidik masyarakat berhubung perkara ini,”- Kakitangan awam, Hamizura Osman

Sebagai seorang ibu, saya menyokong penuh pembinaan pusat perlindungan bayi ini kerana ia dapat mengelakkan nyawa bayi daripada terancam dan tinggal dalam persekitaran lebih selamat,”- Peniaga, Noraini Mohd Din

Pembinaan pusat perlindungan bayi ini sekurang-kurangnya dapat membantu menyelamatkan nyawa anak kecil yang tidak berdosa. Selain itu, perlindungan yang diberi dijamin selamat dan kehidupan mereka lebih terjamin pada masa hadapan,”- Peniaga, Hanizan Mohd Nor

Bagi saya, dari segi untuk menyelamatkan nyawa bayi ia adalah satu perkara yang baik namun dari segi negatif tidak mustahil ia menggalakkan mereka yang tidak bertanggungjawab terus melakukan maksiat kerana sudah ada tempat yang menjamin keselamatan bayi yang dibuang,”- Peniaga, Normah Ahmad

Pada pendapat saya, gejala buang bayi ini selalu berlaku dalam kalangan remaja dan mereka yang melakukan hubungan seks tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang. Mereka yang ingin menghantar bayi ke pusat itu pasti mempunyai perasaan takut kerana terasa diancam oleh pihak berkuasa dan tidak mustahil bayi yang dilahirkan akan dibuang di kawasan terpencil serta tersorok daripada dikesan,”- Peniaga, Anuar Zahari

Usaha yang dilakukan KPJ-ISH dan JKM adalah satu perkara yang mulia. Bagaimanapun, mereka di luar sana terutamanya golongan remaja tidak boleh mengambil kesempatan untuk terjebak ke dalam kancah tidak bermoral dengan alasan ada pihak yang akan menjaga bayi yang bakal lahir kelak,” – Lepasan SPM, Mohamed Hazreen Kezry Mohd Fazli

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");