Perak Hari Ini

30 usahawan India terima pinjaman TEKUN bernilai RM265,000

Seramai 30 usahawan di negeri ini menerima pinjaman berjumlah RM265,000 di bawah Skim Pembangunan Usahawan Muda India (SPUMI) yang disalurkan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) khusus bagi mengalakkan rakyat menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dan sederhana.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S K Devamany, berkata nilai pinjaman yang ditawarkan melalui skim itu antara RM5,000 hingga RM20,000.

“Jumlah pinjaman yang ditawarkan ini bergantung kepada jenis perniagaan yang diusahakan oleh si peminjam.

“Sejak 2008 hingga tahun lalu, kerajaan Pusat sudah meluluskan RM35 juta sebagai pinjaman kepada usahawan India di seluruh negara dan dari setahun ke setahun, kita dapat lihat peruntukan ini terus bertambah.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memperjuangkan konsep 1Malaysia yang memberi bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Devamany menyampaikan cek pinjaman TEKUN di bawah SPUMI kepada 30 usahawan India di Perak. Hadir sama, Pengurus TEKUN negeri, Mohd Anuar Salleh.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan peminjam TEKUN supaya membayar balik pinjaman yang diterima dan kerajaan bersedia menyusun semula cara bayaran bergantung kepada kemampuan mereka.

“Jika mereka menghadapi tekanan, mungkin jumlah bayaran dapat dikurangkan daripada apa yang sepatutnya dibayar. Janji ia dibayar dan lebih penting dalam perniagaan ialah amanah dan jika mereka mempunyai sifat itu, kita tidak punya masalah untuk memberi pinjaman yang seterusnya,” katanya.

Jelasnya, peminjam juga diberi pendedahan mengenai aspek pengurusan perniagaan, perbankan dan pembayaran balik agar apa yang diusahakan mereka tidak menjadi sia-sia.

“TEKUN turut menyediakan latihan keusahawan kerana masyarakat India menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta.

“Maka ia perlu dibantu dan TEKUN adalah satu inisiatif bagi kaum India untuk menceburi bidang perniagaan dan kita menyeru kerajaan agar memperluaskan lagi pembiayaan pinjaman ini di masa depan,” katanya.

Sementara itu, S Doraisamy, dari Sitiawan, berkata beliau berasa gembira kerana terpilih menerima pinjaman TEKUN berjumlah RM6,923.

Katanya, wang itu akan digunakan untuk memajukan lagi perniagaan pengangkutan yang dijalankan sejak lebih setahun lalu.

“Dengan wang ini, saya berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan dalam bidang pengangkutan bahan binaan di sekitar Sitiawan,” kata bapa empat anak itu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");