Perak Hari Ini

Awas kumpulan guna nama Menteri Besar

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati agar tidak terperangkap dengan kegiatan sesetengah pihak yang menipu menggunakan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Zambry berkata, kumpulan tersebut bukan sahaja mendakwa mempunyai hubungan baik dengan beliau, malah menggunakan pelbagai cara termasuk memalsukan tandatangannya dan kepala surat Pejabat Menteri Besar.

Katanya, ada juga yang menggunakan gambar beliau dan menyamar sebagai pegawai khas Menteri Besar untuk memperdayakan orang ramai.

“Saya perlu mengingatkan orang ramai kerana banyak laporan mengenainya, seolah-olah arahan Menteri Besar minta duit.

“Sebagai contoh, mereka menggunakan surat lesen pembalakan yang sudah diluluskan untuk menipu sehingga ada yang menyerahkan wang RM100,000. Ada juga pihak yang hendak buat projek dan mereka kata boleh selesaikan dengan Menteri Besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Perpustakaan Permainan I-Play tajaan Yayasan Emkay di Kampung Desa Permai dan Kampung Desa Damai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Pulau Banding, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Emkay, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak, Zamri Mustajab dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof.

Mengulas lanjut, Zambry memberitahu, beliau dimaklumkan sudah ada beberapa tangkapan dibuat pasukan keselamatan dan meminta pihak polis untuk menyiasat perkara itu.

Beliau berkata, penipuan seperti itu pernah berlaku pada tahun lepas dan juga ketika Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali menjadi Menteri Besar.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Adam Haris Abdullah, 30, mendakwa kerugian RM60,000 selepas ditipu dalam urusan jual beli konsesi balak dengan seorang individu yang mendakwa kawan baik kepada Menteri Besar dan saudara kepada seorang pemimpin UMNO Bahagian.

Katanya, lelaki tersebut menggunakan dokumen palsu kononnya sebuah syarikat yang mendapat konsesi balak memberikannya kuasa untuk menjual konsesi itu.

“Sebenarnya syarikat itu memang mendapat konsesi balak tetapi ia tidak pernah berhajat untuk menjualnya atau memberikan kuasa kepada sesiapa untuk membuat urusan jual beli,” ujarnya.

Adam Haris berkata, laporan polis belum dibuat kerana dia sedang berbincang dengan lelaki tersebut untuk mendapatkan semula wangnya.

Sementara itu, Zakaria ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, berkata, sehingga kini, polis belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut.

“Saya akan buat pengumuman mengenai perkara ini pada minggu depan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");