Perak Hari Ini

Derita dua beradik dapat perhatian kerajaan Perak

Penderitaan dua beradik mangsa kemalangan ngeri di Slim River yang mengorbankan empat ahli keluarga pada malam Aidiladha lalu, sedikit terubat apabila kerajaan negeri Perak memberi bantuan sebanyak RM24,500 bagi meringankan beban mereka.

Dua beradik itu, Firdaus Shaiful Fadzilah 9, dan adik perempuannya Fatiha Shaiful Fadzilah 5, kini menumpang kasih datuk dan neneknya di Kampung Gua Badak Lenggong, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Tarmizi Idris berkata, sumbangan itu bagi membantu golongan ditimpa musibah terutama anak-anak yang hilang tempat bergantung.

”Sehingga kini kami memperuntukkan sebanyak RM24,500 untuk dua beradik ini yang ditimpa musibah nahas jalan raya. Skim ini telah mula diperkenalkan sejak tahun lalu.

”Ini adalah bantuan pertama yang disalurkan kepada mangsa dalam kes ini. Bantuan berdasarkan penilaian sama ada mereka masih ada tempat bergantung yang boleh diharapkan,” katanya ketika ditemui di majlis tahlil rumah keluarga datuk dua beradik malang itu, Shahar Mohd. Ariffin, 62, di sini hari ini.

Firdaus Shaiful dan Fatiha Shaiful menjadi yatim piatu setelah bapa dan ibu mereka, Shaiful Fadzilah 36, dan Siti Suzana Mohd. Nor 33, serta dua beradik kembar, Fitri dan Fikri, 6, maut dalam nahas ngeri melibatkan dua buah lori dan sebuah teksi di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Slim River pada 17 November lalu.

Sementara itu, Shahar berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat penderitaan yang dialami cucu-cucunya itu.

Katanya, wang yang diterima akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk masa depan kedua-dua mereka.

Menurutnya, Fatiha yang cedera dalam kemalangan itu masih perlu menjalani rawatan susulan setiap minggu dan dijangka mengambil masa lama untuk pulih.

”Fatiha melecur teruk pada bahagian belakang dan tangan kiri serta patah ibu jari kaki kiri dan ia memerlukan rawatan yang sempurna akibat terbakar semasa kemalangan itu,” katanya.

Shahar memberitahu, Fatiha memerlukan peruntukan RM400 untuk rawatan susulan setiap bulan termasuk kos ulang alik ke hospital.

“Saya bersyukur dengan keprihatinan dari pihak-pihak yang sudi menghulurkan bantuan demi masa depan cucu-cucu saya,” katanya.-Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");