Berita Hari Ini

Garis Panduan Mengenai Tiga Akta Berhubung Penyebaran Maklumat, Internet

Kerajaan akan menyediakan garis panduan berhubung penyebaran maklumat dan internet untuk memudahkan orang ramai memahami undang-undang yang diliputi tiga akta berkaitan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Tiga akta berkenaan adalah Akta Hasutan 1948, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata cadangan itu dipersetujui Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi Kerajaan yang bermesyuarat hari ini dan akan dibentangkan pada Jemaah Menteri supaya ia boleh diguna pakai.

“Kami perlu cepat, harap-harap (semuanya) akan selesai sebelum penghujung Februari,” katanya pada sidang berita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Mohamed Nazri berkata jawatankuasa itu dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara akan mengadakan penerangan dan mesyuarat awam di setiap negeri untuk menjelaskan undang-undang berkenaan termasuk proses pengutipan bukti serta jenis kes yang boleh diambil tindakan.

Beliau berkata orang ramai termasuk wartawan dan bloggers dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan kelak.

“Kita mahu memberi pemahaman yang lebih kepada orang ramai berkenaan kes-kes yang melanggar Akta SKMM, melanggari arahan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan polis. Amat penting bagi mereka mengetahui apa yang boleh dan apa yang tidak boleh lakukan,” katanya.

Mohamed Nazri menafikan langkah itu bertujuan menyekat kebebasan bersuara di negara ini, sebaliknya kerajaan tegas terhadap isu-isu yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata garis panduan itu relevan memandangkan kemajuan pesat dunia siber serta desakan pihak tertentu memperjuangkan kebebasan bersuara mutakhir ini.

“Mereka fikir kebebasan bersuara ini segala-segalanya… termasuk bebas berbohong, memfitnah, bebas berbuat apa sahaja sehingga ke tahap menjejaskan keselamatan negara.

“Keselamatan negara paling utama. Tiada kompromi mengenainya,” katanya.

Setakat kini, sebanyak 217 kes diterima SKMM berhubung aduan penyalahgunaan kandungan internet dan daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes dihadapkan ke mahkamah, enam kes memerlukan siasatan lanjut, 23 kes diarahkan untuk ditawarkan kompaun atas syarat-syarat pelanggaran lesen dan 175 kes dikategorikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Mengikut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia, 38 kes dibuka dengan 29 daripadanya dalam siasatan, lima kes sudah dituduh di mahkamah dan empat kes dikategorikan NFA, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 14 Feb untuk memuktamadkan pelaksanaan kaedah rundingan bagi pengakuan bersalah.

Katanya garis panduan pelaksanaan kaedah itu sedang disediakan Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama pihak mahkamah dan Majlis Peguam. Rundingan bagi pengakuan bersalah atau “plea-bargaining” adalah proses yang diadakan antara pihak pendakwaan dan pembelaan sebagai insentif bagi tertuduh memilih untuk mengaku salah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.

Konsep itu diwujudkan untuk mengurangkan jumlah kes tertunggak di mahkamah.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");