Perak Hari Ini

Industri perhotelan di Perak memberi petunjuk positif

Pertumbuhan pesat industri perhotelan di Perak memberi petunjuk positif terhadap ekonomi negeri yang semakin berkembang dengan kehadiran lebih ramai pelancong dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, permintaan tinggi terhadap bilik penginapan terutamanya di Lembah Kinta pada setiap minggu membuktikan negeri Perak kini semakin menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Jelasnya, kerajaan negeri menerima beberapa permohonan daripada pelabur untuk membina hotel baru termasuklah hotel bajet dan bersedia memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada perkara itu.

“Di Ipoh sahaja, kita dapat lihat beberapa hotel baru sedang dalam pembinaan dan ini menjadi petanda baik kepada pertumbuhan ekonomi Perak.

“Ia sudah pasti mempunyai kaitan dengan bilangan pelancong yang semakin ramai melawat Perak sejak dua tahun kebelakangan ini dan kita lihat tahap keyakinan pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini juga turut meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Putra Iskandar di Bandar Seri Iskandar, hari ini.

Hotel yang diusahakan oleh Dayatama Hotels and Resorts Management Sdn Bhd itu mempunyai 39 bilik dan dilengkapi dengan dewan bankuet dan restoran sebagai kemudahan penginapan kepada keluarga pelajar institusi pengajian tinggi di Seri Iskandar antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, kerajaan Perak menggalakkan pengusaha bertaraf kecil dan sederhana untuk menceburi perniagaan hotel bajet seperti yang dilaksanakan oleh usahawan tempatan, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim yang membuka hotel bajet pertama di Ipoh milik Bumiputera sepenuhnya, DWJ Hotel pada 16 Disember lalu.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kejayaan Dayatama Hotels and Resort Management menguruskan dua lagi rangkaian hotel iaitu di Parit Buntar dan Lumut membuktikan syarikat Bumiputera itu juga mampu bersaing dalam industri perhotelan.

“Daripada syarikat yang bermodalkan RM25 pada 1984, ia kini berjaya menguruskan tiga buah hotel dan memiliki aset bernilai RM6 juta dengan diuruskan sepenuhnya oleh ahli keluarga.

“Syarikat ini juga akan membangunkan fasa kedua projek pada pertengahan tahun ini untuk menambah 24 bilik lagi dan apabila ia siap kelak, hotel ini boleh menampung 180 tetamu pada satu-satu masa da menghasilkan pendapatan pusingan RM31,500,” katanya.

Hotel Putra Iskandar menawarkan kadar harga antara RM90 hingga RM160 untuk bilik penginapan dan ia turut dilengkapi dengan kemudahan internet, restoran dan dewan bankuet bagi keselesaan pengunjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");