Berita Hari Ini

Isa masuk kerja sebagai Pengerusi Felda

Lama tidak tengok Tan Sri Isa Samad memakai kot dan tampil penuh semangat.

Sejak menang pilihanraya kecil Dewan Undangan Neggeri Bagan Pinang tidak lama dulu,beliau banyak turun padang bantu kempen pilihanraya kecil di sana sini.Hari ini Isnin 3 Januari beliau masuk kerja secara rasmi sebagai Pengerusi Felda.

Majlis serah tugas ringkas diadakan di ibupejabat Felda di Kuala Lumpur antara beliau dengan pengerusi sebelum ini,Tan Sri Yusof Noor.

Ia disaksikan oleh Timbalan Menteri Dijabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan para pegawai tinggi Felda yang lain.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas majlis itu Isa berkata beliau bukan nak takbur tetapi yakin dapat mematahkan serangan pembangkang keatas agensi berkenaan.

Mungkin ramai tidak tahu semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004,ada 49 kawasan rancangan Felda di negeri itu.

Baginya serangan pembangkang setiap kali menjelang pilihanraya umum adalah perkara biasa.

“Dari segi serangan , saya ingat ia bukan satu perkara yang baru, bila hampir sahaja pilihan raya mereka sibuklah, saya kadang tertanya-tanya juga sepanjang kita wujud Felda lebih 50 tahun ini bila masanya pembangkang puji Felda,” katanya.

Isa berkata beliau yakin para peneroka memahami senario itu dan sudah masak dengan taktik pembangkang yang sering memfitnah Felda.

“Kita pun serang mereka juga, kita lawan, cuma saya yakin kita akan berjaya sebab kita berada di pihak yang benar, saya percaya peneroka dan kami di Felda sudah faham dan begitu masak dengan pembangkang,” katanya.

Ditanya sama ada tugasnya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang tidak bertindih dengan tugas sebagai Pengerusi Felda, Isa berkata perkara itu bukanlah satu masalah bagi dirinya.

“Tidak banyak masalah sebab saya dah lalui puluhan tahun dalam politik, fokus saya sekarang ialah jalankan tanggungjawab dalam Felda dan wakil rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai cakap-cakap yang mengatakan bahawa Felda di Negeri Sembilan akan menjadi anak emas Felda, Isa berkata apa yang penting adalah kerjasama daripada Felda di seluruh negara.

“Felda Negeri Sembilan dengan Johor dan Pahang sama sahaja, tiada beza, orangnya sama, pokoknya sama, pentadbiran pun sama, saya tak nampak ada perbezaan, tentulah orang Negeri Sembilan gembira sebab saya jadi pengerusi, tetapi tidak semestinya saya lebihkan Negeri Sembilan,” katanya.-3/1/2011

Isu Felda harus dijelaskan segera – Isa Samad

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang baru dilantik meneraju Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selaku pengerusi berkata, isu berkaitan organisasi itu harus diperjelaskan pada kadar segera.

Langkah itu katanya amat penting bagi mengelak golongan peneroka terus menjadi mangsa kepentingan politik pembangkang.

“Ini kerana mengikut fikiran pembangkang melalui pencetusan keraguan pada kalangan peneroka ini, sedikit demi sedikit akan menghakis kepercayaan peneroka dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita, di Port Dickson, Selasa.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Karnival Juara Rakyat Ladang Parlimen Teluk Kemang bagaimanapun yakin peneroka FELDA tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang hanya membangkitkan isu itu sejak kebelakangan ini.

“FELDA tidak ada banyak masalah. Kalau benar fitnah pembangkang itu (tanah rancangan) FELDA sudah lama kosong,” katanya.

Bernama melaporkan Mohd Isa berkata beliau juga sudah masak dengan taktik pembangkang dan akan menggunakan pengalaman politiknya untuk menangkis tohmahan mereka terhadap organisasi tersebut.

“Dalam pilihan raya umum yang lalu majoriti peneroka FELDA menyokong kerajaan…segelintir saja tidak menyokong,” katanya.

Malah katanya, masyarakat di tanah rancangan FELDA tidak mempunyai asas untuk menolak kerajaan sedia ada memandangkan ramai yang telah dapat membaiki taraf hidup menerusi program itu.

Hakikatnya kata Mohd Isa, pembangkang tidak menghargai tanah rancangan FELDA pada awal penubuhannya namun kini mempolitikkan beberapa isu berkaitan organisasi itu bagi mendapatkan undi. -28/12/2010

Mohd Isa dilantik Pengerusi FELDA

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkuatkuasa, 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Isnin, pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA.-27/12/2010-agendadaily.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");