Berita Hari Ini

Jangan leka dengan insentif: Rajagobal

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak negara yang menjuarai Piala AFF Suzuki, baru-baru ini. - Berita Harian

PUTRAJAYA: Ketua jurulatih bola sepak negara, K. Rajagobal mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah dengan insentif yang diberikan kepada mereka selepas berhempas pulas membawa pasukan negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

Beliau berkata, tugas seterusnya yang bakal mendatang adalah lebih sengit.

“Ini baru satu permulaan. Saya tidak mahu mereka terlalu ghairah dengan insentif kemenangan serta kemudahan yang diberikan kerajaan.

“Saya mahukan pemain saya terus mengekalkan prestasi sekaligus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” katanya.

Rajagobal berkata demikian selepas skuad Harimau Malaya menerima insentif sebanyak RM65,000 daripada kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di Seri Perdana di sini hari ini.

Beliau menyifatkan penghargaan tersebut akan membangkitkan semangat anak buahnya untuk lebih berdaya juang.

Beberapa negeri turut menjanjikan ganjaran kepada pemain Piala AFF yang berasal dari negeri-negeri berkenaan.
“Saya berharap lebih banyak kejayaan akan direkodkan pada masa hadapan dan pada masa yang sama, mendoakan agar mutu sukan bola sepak Malaysia kembali dihormati dan digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah di seluruh dunia,” kata Rajagobal.

Beliau berkata perancangan masa depan negara masih terbuka luas kerana skuad negara mempunyai pemain berusia purata 22 tahun yang mampu mengembangkan kemahiran dan kualiti bola sepak negara.

“Saya bukan sahaja mahukan masa depan bola sepak negara cerah malah saya jura mahu masa depan pemain-pemain saya turut cerah,” katanya.

Antara pertandingan penting buat skuad negara untuk meneruskan kecemerlangan mereka ialah kejohanan Sukan SEA di Indonesia pada November ini.

“Inilah impian saya dalam membentuk sebuah pasukan yang benar-benar kuat dan seterusnya akan diiktiraf di peringkat Asia. Kita akan meneruskan kejayaan ini dengan menyertai pertandingan-pertandingan peringkat antarabangsa.

“Sasaran kita juga ialah untuk menyertai Piala Asia 2015. Bertanding dengan 16 pasukan terbaik Asia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan skuad kebangsaan yang bakal membuka tirai 2011 dengan perlawanan persahabatan antarabangsa pertama mereka iaitu menentang Hong Kong pada 9 Feb di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, beliau berkata skuad negara akan menunjukkan kelainan pada tahun ini.

“Perlawanan persahabatan ini merupakan sebagai pemanas badan dan pendedahan pertama untuk mereka sebelum beraksi ke kelayakan Olimpik di London 2012 pada hujung Februari depan,” kata Rajagobal.

Skuad negara akan menentang Pakistan pada pusingan kelayakan pertama yang dijadualkan bermula 23 Februari hingga 9 Mac. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");