Kolumnis

KEKARUTAN ASSOBIYYAH FAHAMAN NIK ABDUL AZIZ

Cerita tentang assobiyyah versi Nik Abdul Aziz Nik Mat dan konco-konconya kedengaran kembali. Dari semasa ke semasa, golongan ini cuba MENIDAKKAN dan MENAFIKAN hadis Rasulullah s.a.w terutama yang berkaitan dengan ASSOBIYYAH. Bahkan mereka dengan berdasarkan akal dan hawa nafsu politik kepartian yang sempit dan menyesatkan.

Kata Nik Aziz Nik Mat, Islam datang dengan misi untuk menanggalkan sebarang ketuanan berasaskan bangsa dan menggantikannya dengan ketuanan berdasarkan kepatuhan seseorang kepada Allah Taala.

Katanya lagi, sama ada Muslim atau tidak, mereka perlu memahami aspek Islam ini. Disebabkan itu, kata Nik Abdul Aziz lagi, amalan Nabi Muhammad s.a.w membuktikan bahawa kepimpinan tidak berasaskan kepada warna kulit seseorang mahupun bangsa mereka.

“Pada hari akhirat, hanya wujud tiga perkara (atau manusia), yang beriman, munafik dan mereka yang menolak Allah Taala,” kata Nik Abdul Aziz.

Nik Abdul Aziz turut memberikan contoh pada zaman jahiliyyah, bangsa Habsyah diperhina oleh Arab kerana latar belakang mereka sebagai hamba abdi yang boleh dijual beli. Apabila Nabi Muhammad s.a.w datang bersama Islam, baginda menyatakan bahawa hamba hitam legam juga boleh menjadi seorang pemimpin dan perlu dipatuhi.

Sekali imbas, kata-kata Nik Abdul Aziz Nik Mat itu kelihatan begitu bersandar kepada al Quran, terutama bab yang bersangkutan dengan kemuliaan keturunan dan kemuliaan taqwa.

Firman Allah Taala dalam Surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujurat ayat 13).

Allah Taala juga berfirman yang maksudnya:

Kamu tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah ) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu adalah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau pun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman di dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong (agama ) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. (Al-Mujadalah ayat 22)

Bagi mereka yang kurang mengerti dan kurang mendalami ilmu, maka dua ayat al Quran di atas (ada banyak lagi ayat-ayat al Quran yang seragam) akan menyangkakan bahawa Allah Taala menerangkan tentang bahaya Assobiyyah. Ditambah pula dengan tafsiran sempit atau sehala yang diberikan oleh golongan yang berkepentingan di dalam politik kepartian seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Perlu diperhatikan bahawa Allah Taala menegaskan bahawa Dia adalah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Konsep taqwa bersifat sebagai unit individu. Bukannya secara berkelompok atau berjemaah. Dengan kata lain, Allah Taala menekankan tentang keadaan setiap hamba-Nya berada di bawah Arasy-Nya. Dia Maha Mengetahui keadaan setiap ciptaan-Nya.

Allah Taala telah menjadikan manusia dari pelbagai puak dan pelbagai bangsa. Allah Taala juga Mengetahui bahawa makhluk ciptaan-Nya mempunyai pelbagai ragam, sama ada qaul mahupun fi’li. Dan kerana itulah, kemuliaan seseorang itu pada sisi Allah Taala adalah taqwa yang hanya Allah Taala sahaja boleh menilainya.

Kerana itulah juga Rasulullah s.a.w didatangkan dan bagindalah yang lebih memahami wahyu Allah Taala akan maksud-maksudnya sama ada yang bersifat Mutasyabihat mahupun yang terang nyata atau Muhkamat. Rasulullah s.a.w mengajar dan setiap ajaran baginda adalah berdasarkan kepada petunjuk Allah Taala, bukan berdasarkan kepada nafsu ammarah dan syahwat.

Rasulullah s.a.w sendiri yang memberikan definisi atau maksud perkataan ASSOBIYYAH di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadis) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah dianggap assobiyyah, orang yang sayang kepada kaum bangsanya?” Jawab Nabi s.a.w, “Tidak, tetapi assobiyyah ialah apabila seseorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman.”

(Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majjah dan sebagainya)

Imam Al-Munawi ketika mensyarahkkan perkataan Asobiyyah lalu berkata:

“Iaitu membantu kezaliman….” (rujuk Aun Al-Ma’bud)

Adapun tentang kecintaan terhadap sesuatu bangsa, Rasulullah s.a.w sendiri ada menegaskan mengenai kecintaan baginda terhadap bangsa Arab sebagaimana di dlam hadis baginda.

Kecintaan terhadap bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafikan.

Imam Al-Hakim berkata, Hadis ini sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Menyayangi bangsa sendiri iaitu bangsa Melayu yang diamanahkan oleh Allah Taala menerajui Islam dan pentadbiran di negara ini tanpa melakukan penindasan kepada bangsa-bangsa lain, bukanlah sesuatu yang dilarang. Bahkan pada masa yang sama, sebarang kezaliman, kemungkaran dan kemaksiatan tetap dibanteras sekalipun dilakukan oleh kelompok Melayu sendiri.

Sebaliknya berdasarkan kepada defisini yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w, ASSOBIYYAH bukan setakat berlaku apabila wujudnya pembelaan kezaliman yang dilakukan oleh bangsa sendiri, sebaliknya ia juga berlaku apabila kezaliman yang dilakukan oleh kumpulan, puak, organisasi, keluarga, parti atau jemaah dibela dan dipertahankan sekalipun dengan dengan hujah-hujah agama untuk membenarkannya seperti yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam beberapa kes seperti yang membabitkan SHIT, khalwat Mat Sabu dan sebagainya.

Apatah lagi, Ketuanan Melayu dan KEBANGSAAN yang didakyahkannya sebagai ASSOBIYYAH tidak sesekali membela mahupun mempertahankan mana-mana anggota berbangsa Melayu yang melakukan perlanggaran hukum dan kanun. Dan adakah KETUANAN MELAYU serta KEBANGSAAN yang ditakfirkan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menghalang Lim Guan Eng daripada menjadi Ketua Menteri, Lim Kit Siang daripada menjadi Ahli Parlimen, Karpal Singh daripada menjadi peguam berharga mahal mahupun Khalil Idham Lim daripada menjadi seorang ADUN Titi Serong?

Justeru, kata-kata siapakah yang kita perlu pakai? Kata-kata dari Nafsu Mutmainnah Nabi Muhammad s.a.w atau kata-kata daripada nafsu ammarah Nik Abdul Aziz bin Nik Mat?

Penulis: KELEMBAI BUKIT untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");