Berita Hari Ini

Kematian Teoh Bukan Disebabkan Pembunuhan Diri, Keputusan Koroner

Mahkamah Koroner pada Rabu memutuskan bahawa kematian Teoh Beng Hock pada 2009, bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Koroner Azmil Muntapha Abas, yang membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 37 saksi termasuk 12 pakar dalam inkues kematian Teoh, berkata ia adalah satu keputusan terbuka.

Beliau berkata keterangan pakar berhubung nota bunuh diri hanya sekadar mengesahkan ia ditulis oleh Teoh, namun tidak menyatakan tahap kewarasan mangsa sebelum ditemui mati, manakala keterangan anggota keluarganya menolak terus kemungkinan mangsa membunuh diri.

Katanya, ketiadaan bukti langsung mengenai penglibatan pihak ketiga yang menyebabkan mangsa jatuh pula “sekadar mengagak-agak dan ia tidak mempunyai sebarang nilai sebagai bahan bukti.”

Teoh, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Inkues itu diadakan kerana kematian Teoh menimbulkan banyak persoalan khasnya apabila beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM berhubung dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan Selangor.

Azmil berkata mahkamah kesal kerana tiada laporan psikiatri forensik berhubung keadaan jiwa Teoh untuk diteliti, dan sebagai koroner, beliau tidak boleh menilai berdasarkan anggapan semata-mata, seterusnya memutuskan nota itu sebagai nota bunuh diri.

“Dalam hal ini, saya dapati ada isu yang belum terungkai dan menimbulkan persoalan,” katanya.

Mengenai isu homisid, Azmil berkata berdasarkan pandangan pakar terutama Dr Shahidan Md Noor dari Hospital Sungai Buloh yang melakukan bedah siasat kedua, ahli patologi Thai Dr Pornthip Rojanasunand dan pakar forensik Britain Profesor Dr Peter Vanezis, mahkamah memutuskan ada keterangan cukup bagi mengesahkan terdapat kecederaan di leher Teoh sebelum mangsa jatuh.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati tidak ada bukti yang cukup dan melampaui keraguan yang munasabah bagi mengesahkan bahawa kecederaan itu telah menyumbang kepada kematian mangsa.

Berhubung isu masa sebenar Teoh meninggal dunia, Azmil berkata Dr Prashant Naresh Samberkar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya berpendapat, ia antara lapan hingga 12 jam sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira 1.30 tengah hari pada 16 Julai 2009, dan Dr Pornthip berkongsi pandangan serupa.

Beliau berkata semua ahli patologi dan pakar bersetuju kematian Teoh berpunca daripada pelbagai kecederaan yang dialami mangsa akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Azmil berkata peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor, telah merujuk keterangan Dr Prashant berhubung kesan cakaran kuku pada tingkap sebagai tanda bahawa seseorang itu berusaha melawan untuk mengelak daripada terjatuh.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada pemeriksaan forensik dilakukan bagi membuktikan pendapat itu.

Mengenai dua teori berhubung kematian Teoh, sama ada bunuh diri atau homisid, Azmil berkata selepas bedah siasat kedua, kecederaan di leher mangsa merupakan elemen utama bagi menyokong pendapat peguam keluarga mangsa bahawa setiausaha politik itu telah dibunuh.

SPRM pula, katanya, amat bergantung kepada nota bunuh diri bagi menguatkan kes mereka dan sebagai koroner, beliau perlu menilai kedua-dua teori sebelum membuat keputusan.

Azmil berkata saudara lelaki Teoh, Meng Kee telah memberitahu mahkamah bahawa mangsa sepatutnya akan berkahwin tidak lama selepas itu dan menjalani kehidupan normal serta tidak menghidap sebarang penyakit jiwa.

Beliau berkata keterangan pakar tulisan tangan Wong Kong Yong pula hanya sekadar mengesahkan bahawa tulisan pada nota bunuh diri serupa dengan yang terdapat pada dokumen dalam beg sandang Teoh.

Katanya, sehubungan itu, terdapat dua isu yang belum terungkai, pertama, nota itu tidak dapat dipastikan mengandungi tulisan tangan Teoh dan contoh tulisan mangsa juga tidak diperoleh untuk diteliti mahkamah.

Sebagai koroner, beliau tertakluk dengan prinsip undang-undang bahawa keterangan pakar tulisan tangan bukan konklusif, dan hanya sekadar pendapat.

Katanya, peguam SPRM Datuk Abdul Razak Musa pula bergantung kepada kenyataan beramaran Teoh sebagai punca mangsa mengambil keputusan membunuh diri.

Azmil berkata Abdul Razak berhujah bahawa Teoh berasa amat bersalah dan takut untuk meninggalkan pejabat SPRM kerana beliau malu berdepan masyarakat, selain dilihat berada dalam keadaaan resah, gelisah serta seolah-olah bersalah.

“Saya hanya boleh menganggap bahawa nota itu ditulis oleh Teoh, tetapi saya tidak boleh memutuskan ia sebagai nota bunuh diri. Saya mendapati ada beberapa isu yang belum terungkai dan oleh itu, saya menolak bunuh diri sebagai punca kematian mangsa,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");