Perak Hari Ini

Lawatan Kerja DS Zambry ke Tanjung Malim

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam menggunakan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) bagi meninjau kegunaan tanah dan pembangunan yang terdapat di sepanjang laluan keretapi dari Ipoh hingga Tanjung Malim.

Rombongan kerajaan negeri yang turut disertai beberapa ketua jabatan dan pengamal media menaiki tren jam 9 pagi di stesen keretapi Ipoh dan tiba di stesen Tanjung Malim pada jam 10.20 pagi.

Ketibaan Dr Zambry di stesen keretapi Tanjung Malim disambut Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) , Datuk Aminuddin Adnan dan disambut meriah oleh pemimpin tempatan mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) sambil diiringi tarian singa.

Sejurus tiba, Dr Zambry dan rombongan diberi taklimat ringkas mengenai projek pembangunan yang dirancang oleh Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) yang disampaikan Pegawai Perancang Bandarnya, Zuhairi Hashim.

Sementara itu, Dr Zambry pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Proton City berkata, rombongan yang turut disertai beberapa ketua jabatan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bertujuan melihat sejauhmana tanah di sepanjang laluan keretapi boleh dimanfaatkan bagi tujuan pembangunan.

“Kita mahu siapa yang miliki tanah, statusnya dan jenis pembangunan yang sesuai untuk dilaksanakan kerana ada sebahagiannya berpotensi dibangunkan dengan projek pertanian, penternakan dan komersil,” katanya.

Jelasnya, Pejabat Tanah dan Galian sudah diarah agar menyediakan laporan mengenai kegunaan dan pembangunan tanah di sepanjang laluan keretapi Ipoh hingga Tanjung Malim,” katanya.

Beliau berkata, salah satu pusat yang menjadi pemangkin ekonomi Perak ialah kawasan Tanjung Malim yang diiktiraf sebagai bandar automatif berkeluasan 1,600 ekar yang dimajukan oleh DRB Hicom.

“Ia berdasarkan kepada hasrat kerajaan untuk mewujudkan bandar automatif baru sekaligus mengembangkan ekonomi negara dan sejak itu, kerajaan negeri terus memberi sokongan kepada kerajaan Pusat.

“Dengan wujudnya kilang Proton yang terbesar di sini, kita mahu melihat pembangunan di kawasan ini perlu disegerakan dan kilang di sini sudah mengeluarkan jenama terbaik Proton.

“Proton merancang untuk mengembangkan bidang ini dengan mengeluarkan lebih banyak model di pasaran tempatan dan antarabangsa. Kedudukan kilang Proton di Tanjung Malim juga mempunyai masa depan yang cerah dan kita mengharapkan syarikat dapat memberi penekanan kepada aspek baru dalam bidang automatif,” katanya.

Selain itu, pihak Proton juga katanya, turut mewujudkan sistem vendor di mana terdapat beberapa vendor yang diwujudkan bagi membantu industri automatif negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata, kampus baru Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan kawasan seluas 320 hektar juga terletak di Proton City.

“Fasa 1 projek sudah dilaksanakan dan kita jangka kampus baru UPSI dapat digunakan pertengahan tahun ini dan pasaraya Mydin pula akan membuka cawangan baru mereka di sini,” katanya dan lebih 60 peratus daripada keseluruhan kawasan yang dikhaskan untuk Proton City sudah dimajukan dengan projek pembangunan.

Dr Zambry berkata, dengan perancangan yang rapi, beliau yakin Proton City akan menjadi bandar yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan dalam tempoh lima akan datang.

Syarikat DRB Hicom juga katanya, diminta supaya menambah khidmat tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi membangunkan kemudahan awam di kawasan ini.

“Saya harap projek yang dirancang oleh MDTM dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa dapat dilaksanakan dan kita berharap suatu hari nanti Tanjung Malim menjadi bandar automatif dan bandar unversiti iaitu bandar untuk golongan profesional yang bekerja di kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Ini adalah trend yang berlaku di negara maju seperti Eropah dan Jepun di mana kebiasaannya golongan profesional tinggal di luar pusat bandar sekitar 30 minit hingga 1 jam tempoh perjalanan ke tempat kerja.

“Kemudahan ETS yang disediakan KTMB adalah antara perkhidmatan tercanggih yang dapat menghubungkan golongan ini ke tempat kerja di kawasan Lembah Klang dan ketika ini laluan Ipoh-Kuala Lumpur adalah laluan popular,” katanya sekaligus menambah bilangan penduduk di kawasan itu dari 50,000 orang ketika ini kepada 120,000 orang menjelang 2021.

Ditanya pengalaman beliau sendiri ketika menggunakan perkhidmatan itu, Dr Zambry berkata, ia cukup menarik dan perkhidmatan yang disediakan juga setanding dengan negara maju.

“Ini kali kedua saya menggunakan ETS dan saya cukup berpuas hati perkhidmatan ditawarkan kerana ia setanding dengan kemudahan keretapi yang beroperasi di negara maju.

“Saya juga ingin mengalakkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan ETS ini sebagai pengangkutan awam utama di masa akan datang,” katanya.

KLIK PADA LINK INI UNTUK KE GALERI DS ZAMBRY MENAIKI ETS

KLIK PADA LINK INI UNTUK KE GALERI LAWATAN DS ZAMBRY KE PROTON CITY

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");