Perak Hari Ini

MCA nafi miliki tanah di Meru Raya- Dr Mah Hang Soon

MCA Perak hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boon Chye bahawa parti itu memiliki tanah di bandar Meru Raya sambil menegaskan kerajaan negeri juga tidak ada sebarang kaitan dalam isu berkenaan yang disifatkan sebagai satu pembohongan besar dan berunsur fitnah.

Ketua Pemuda MCA negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata,tuduhan Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng itu jelas berniat jahat dengan tujuan mahu mencalar dan menjatuhkan imej parti di mata rakyat.

Sambil menyifatkan tuduhan wakil rakyat PKR itu sebagai publisiti murahan, beliau berkata, Boon Chye seharusnya mendapatkan penjelasan sebenar daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan kenyataan itu dengan sewenang-wenangnya.

“Saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia dan Perak khususnya kerana mengeluarkan kenyataan itu yang jelas satu pembohongan dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej MCA.

“Kita juga sedang menimbang tindakan undang-undang terhadap Boon Chye di atas tuduhannya mengatakan MCA memiliki tanah seluas 1.2 hektar di Meru Raya sedangkan ia satu pembohongan semata-mata,” katanya kepada pemberita di sidang akhbar di Ipoh, hari ini.

Hadir sama,  Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak Corporation Berhad (PCB) Development Sdn Bhd, Ibrahim Yaakob.

Pada 28 Januari lalu, Boon Chye mencabar Hang Soon supaya mengubah tanah seluas 1.2 hektar di bandar Meru Raya kerana didakwa menjadi tapak MCA sejak 2009.

Beliau memberi tempoh satu minggu kepada Hang Soon berbuat demikian dan meminta UMNO tampil melakukan perkara sama di sebuah lagi tempat yang dijadikan tapak di atas tanah seluas 1.2 hektar berhampiran kawasan berkenaan.

Katanya, nilai 0.4 hektar tanah di kawasan itu boleh mencecah sehingga RM2 juta kerana ia berharga antara RM25 hingga RM50 bagi satu kaki persegi.

Sementara itu, Hang Soon berkata, MCA tidak pernah membuat sebarang perjanjian untuk mendapatkan tanah di situ.

Pihak PCB katanya, pada tahun 2007 bertindak mengeluarkan tawaran kepada MCA dan UMNO untuk melabur dalam projek berkaitan teknologi maklumat (IT) secara komersil di bandar Meru Raya yang mendapat status Multimedia Super Coridor (MSC) dan berkeluasan kira-kira 83.6 hektar.

“Tanah itu milik PCB Development sepenuhnya dan MCA tidak pernah mendapat hak milik di atas tanah yang didakwa oleh Boon Chye,” katanya

Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim berkata, tiada sebarang pemilikan tanah diberi kepada MCA mahupun UMNO kerana kedua-dua pihak itu menolak tawaran yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan.

Katanya, syarikat itu mengeluarkan surat tawaran kepad MCA pada 19 November 2007 tetapi tidak mendapat sebarang maklumbalas positif berhubung perkara itu.

“Ketika itu, krisis ekonomi berlaku dan kita membuka tawaran kepada sesiapa sahaja untuk membangunkan kawasan ini dengan projek berkaitan ICT selaras sasaran kerajaan menjadi negeri berteraskan ilmu pengetahuan (K-State) dan bukan berorientasikan politik.

“Apabila tawaran PCB ditolak oleh MCA, maka parti itu tidak pernah memiliki tanah di Meru Raya seperti yang didakwa oleh Boon Chye,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pelan perancangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Roshidi pula berkata, ahli Parlimen Gopeng itu tidak pernah berjumpa atau menghantar wakilnya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“MBI tidak pernah menentukan mana-mana tanah dalam pelan berkenaan menjadi milik parti tertentu seperti yang didakwa Boon Chye dan beliau juga tidak pernah mendapatkan apa-apa maklumat atau bertanya terus kepada saya mengenai pelan perancangan itu.

“Sehingga hari ini, rekod kita membuktikan tanah itu masih kekal milik PCB dan MBI juga tidak pernah memberi permohonan daripada MCA atau UMNO untuk membangunkan tanah terbabit yang dikatogerikan berstatus komersil,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");