Perak Hari Ini

Meru Raya model bandar kepelbagaian biologi

Hari ini bermulalah satu sejarah baru bagi pembangunan fizikal di negeri Perak. Bukan saja satu kawasan baru akan berkembang di luar bandaraya Ipoh, malah ia akan dibangunkan berpegang kepada prinsip mesra alam sekitar.

Pembangunan seluas 209 ekar di Meru Raya yang sudah diiktiraf sebagai bandar Koridor Raya Multimedia (MSC) itu, dikenali sebagai BioDcity@meruraya. Bandar baru itu nanti akan lengkap dengan pasaraya besar MYDIN, hotel berserta pusat konvensyen, sekolah antarabangsa, pusat komersial, kawasan kediaman, balai bomba dan lain-lain.

Perkara yang menarik mengenai BioD@meruraya adalah ciri-ciri mesra alam yang diterap ke dalam setiap pembangunan di sini. Contoh yang baik adalah pasar raya besar MYDIN dan Tenby International School yang sedang giat di bina ketika ini dan dijangka boleh beroperasi pada 2012.

Pembinaan pasar raya besar MYDIN di BioDcity@Meru Raya yang seluas 750,00 kaki persegi itu adalah MYDIN yang terbesar di Malaysia. Apabila siap dengan anggaran kos RM150 juta, ia akan dilengkapi dengan panel suria untuk penjanaan tenaga elektrik.

Mana kala Tenby International School pula akan mengitar semula air hujan yang dikumpul melalui bumbung khasnya untuk kegunaan keperluan harian.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pembangunan BioDcity@meruraya adalah hasil daripada perancangan yang bermula daripada tahun 2004 lagi. Ketika itu beliau adalah seorang Exco di bawah kepimpinan Datuk Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli Ghazali, Menteri Besar Perak ketika itu.

“Ketika dilantik menjadi Exco masa itu saya bertanyakan soalan, ‘Bagaimanakah kita hendak membangunkan negeri Perak ini?’. Ia merupakan satu soalan yang mempunyai soalan yang amat subjektif,” kata Dr. Zambry.

Apa yang penting, tambah Menteri Besar itu lagi, pembangunan mestilah mengambil kira kekayaan kepelbagaian biologi negeri. Perak masih mempunyai khazanah alam yang banyak yang belum dieksploitasi untuk manfaat rakyat. Disamping itu, kerajaan negeri juga mempunyai tanggung jawab untuk mengimbangi pembangunan dengan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Apa yang kita bina hari ini bukanlah untuk kita sebenarnya, ia adalah untuk generasi akan datang, iaitu anak-anak kita.  Biarlah legasi kita memberi makna kepada mereka,” kata Dr. Zambry.

Disamping pembangunan fizikal, pihak Jabatan Perhutanan Perak telah memulakan kerja-kerja bagi membangunkan BioD Kledang Saiong Wilderness Park. Kawasan hutan balak sekuder seluas hampir 2,200 hektar itu akan menempatkan sembilan zon, yakni, zon pentadbiran, zon interpretasi alam semula jadi, zon rekreasi, zon perkhemahan, zon eco-penginapan, zon pekelahan, zon sukan adventure, zon puncak tinggi dan zon penampan.

Dilakukan secara berperingkat, BioD Kledang Saiong Wilderness Park akan siap sepenuhnya pada tahun 2015.

Disamping itu juga, Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) akan bekerja sama dengan sebuah syarikat swasta untuk memajukan BioD sungaisahrivertrail@meruraya untuk mempromosikan aktiviti rekreasi air di kawasan itu.

Apabila ditanya mengenai sama ada pembinaan kilang pelet keluli di Telok Rubiah akan menjejaskan alam sekitar di kawasan itu, Dr. Zambry berkata, syarikat Brazil yang akan mendirikan kilang itu dan kerajaan negeri sedia untuk mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

“Apabila ada projek sebesar ini di mana jua di dunia ini pun akan mendapat tentangan, setidak-tidaknya akan ada aduan-aduan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

“Namun, kita tidak seharusnya berpatah hati dengan perkara itu kerana sebagai kerajaan, kita perlu menjaga kepentingan rakyat ramai. Sungguhpun begitu, kita juga mesti mempastikan supaya projek itu mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan,” kata Dr. Zambry.

Hadir sama di majlis pelancaran itu adalah ahli-ahli Exco kerajaan negeri, para pelabur di BioDcity@meruraya, dan pegawai kerajaan peringkat pusat dan negeri.

Datuk Nasarudin Hashim, pengerusi Perak Corporation Berhad, peneraju utama pembangunan BioDcity@meruraya itu bertindak sebagai tuan rumah majlis hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");