Berita Hari Ini

Muhyiddin ada formula selesai isu Interlok

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah mempunyai satu formula bagi menyelesaikan isu novel Interlok dan akan mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pemimpin MIC.

Katanya beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam malam ini manakala pertemuan dengan presiden parti itu, Datuk G Palanivel masih belum ditentukan tarikhnya.

“Dalam semangat BN (Barisan Nasional) kita nak berbicara dengan MIC dan saya percaya formula yang akan dikemukakan akan dibincang secara mendalam dalam sehari dua.

“Saya harap apabila diputuskan nanti, perkara ini tidak ditimbulkan lagi kerana apa yang penting ialah semangat bekerjasama dalam konteks Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Bersama Rakyat di Restoran Mustafah Nasi Ayam Gemas di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sebelum ini kerajaan memerlukan masa untuk memikirkan pendekatan yang terbaik bagi menyelesaikan isu itu.

Kontroversi novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein timbul berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini yang didakwa terdapat perkataan yang tidak disenangi kaum India.

Muhyiddin berkata sesetengah pihak telah memutarbelitkan kenyataannya sebelum ini dan mempolitikkan isu novel itu.
Katanya, ramai pihak tidak membaca novel Interlok namun memberikan reaksi kerana mereka mudah diacum dengan perkara seperti itu.

MIC semalam dilaporkan akan tetap dengan pendiriannya bersama tujuh anggota panel yang mewakili parti itu yang berbincang dengan Kementerian Pelajaran mengenai isu vovel Interlok pada Selasa lalu, agar penggunaannya sebagai teks Sastera Tingkatan Lima ditarik balik.

Palanivel, berkata dalam perbincangan itu tiada keputusan dibuat bahawa novel berkenaan selari dengan semangat yang dibawa gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata ahli panel itu sudah menyatakan pandangan mereka bahawa mereka tidak akan berbincang lagi dengan pegawai Kementerian Pelajaran jika apa yang mereka sampaikan itu dipandang ringan.

MIC berpendapat apa yang ditulis dalam buku itu tidak memberi satu gambaran tepat tentang keadaan dan fikiran masyarakat India pada masa sekarang. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");