Perak Hari Ini

Mydin Buka Hipermarket Mesra Alam

Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan membuka sebuah hipermarket berkonsep mesra alam bernilai RM150 juta di Bandar Meru Raya di sini.

Pengarah Urusannya Datuk Ameer Ali Mydin berkata hipermarket berkenaan akan menggunakan panel solar serta lampu T5 yang lebih menjimatkan elektrik serta mesra pengguna.

Beliau berkata hipermarket yang terbesar dalam rangkaian pasar raya Mydin dengan keluasan 750,000 kaki persegi itu akan menghijau dengan pelbagai jenis pokok.

“Kami akan menanam seberapa banyak pokok melebihi apa yang diminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)…persaingan yang hebat pada masa ini memerlukan kita pergi kepada pelanggan dan dengan konsep mesra alam ini saya yakin berupaya menarik mereka untuk terus setia bersama kami serta menarik pelanggan baru.

“Dengan jangkaan ekonomi bagi negeri Perak akan terus meningkat kita yakin hipermarket ini akan terus mendapat sambutan dan bersaing dengan gedung-gedung lain di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran BioDcity@meru raya Khamis.

Pusat pembangunan bandar biodiversiti itu dilancar Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ameer berkata hipermarket itu dijangka mula beroperasi pada Mac tahun depan dan apabila siap kelak akan menyediakan 800 peluang pekerjaan dan juga ruang perniagaan kepada peniaga lain .

Mengenai sebuah lagi hipermarket Mydin di Gugusan Manjoi yang tertangguh sebelum ini, beliau berkata ia akan dimulakan sedikit masa lagi selepas proses dokumentasi dengan pihak MBI selesai.

Beliau berkata pembinaan akan dimulakan sebaik mendapat kelulusan MBI dan hipermarket di Manjoi itu mungkin akan beroperasi lebih awal dari hipermarket Meru Raya kerana saiznya yang lebih kecil.

Ameer berkata syarikat juga merancang untuk membina 13 lagi hipermarket di seluruh negara dalam masa dua tahun ini menjadikan kesemua 18 buah hipermarket dalam rangkaiannya.

Selain itu, Mydin juga mempunyai 65 cawangan emporium di seluruh negara.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");