Isu Panas

Nik Aziz dipanggil mengadap!

SHAH ALAM – Isu pertemuan ’24 Disember’ antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus menjadi tanda tanya akan terjawab apabila Menteri Besar Kelantan itu membuat penjelasan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada masa terdekat.

Dalam pertemuan yang dijangka diadakan sehari dua lagi, Nik Abdul Aziz dipercayai akan memberi penerangan kepada pemimpin komponen PR butiran pertemuannya dengan Najib itu.

Nik Abdul Aziz diminta memberi maklumat berikutan rasa ingin tahu dalam kalangan pemimpin PR yang disuarakan Khamis lalu. Ramai dipercayai mahukan penjelasan rasmi daripada Pas kerana berasa Pas harus berbincang dahulu dengan parti komponen – PKR dan DAP – sebelum bersetuju menghadiri pertemuan tersebut.

Kelmarin, selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipercayai sudah pun berjumpa dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai langkah untuk menjernihkan hubungan kedua-dua parti selepas beberapa isu berbangkit baru-baru ini.

Jumaat lalu, Najib, yang juga Presiden UMNO, ketika diminta penjelasan, enggan mengulas mengenai butiran pertemuannya bersama pemimpin Pas pada 24 Disember itu atas alasan pertemuan tersebut adalah peribadi dan jemputan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada 4 Januari, Nik Abdul Aziz menjelaskan pertemuan tersebut tiada langsung berkaitan dengan politik dan ia dibuat atas jemputan Yang di-Pertuan Agong melalui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang melawatnya ketika beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia bulan lepas.

Pertemuan yang berlangsung di Istana Terengganu di Kuala Lumpur itu, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Antara yang ditimbulkan secara ringkas dalam pertemuan itu adalah berhubung dengan isu kalimah Allah yang pernah menjadi hangat awal tahun lalu serta isu cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas, yang menemui jalan buntu kerana kedua-dua UMNO dan Pas belum menemui ‘titik persamaan’.

Kelmarin, pada sidang media selepas mesyuarat AJK Pas Pusat, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menjelaskan Pas akan sentiasa memberi penerangan sekiranya ada persoalan yang berbangkit dalam kalangan parti komponen PR berhubung isu 24 Disember ini. Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");