Perak Hari Ini

Pemilik restoran nasi kandar tokoh Maal Hijrah

Gulam Rasul (kiri) menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2010 peringkat daerah Hilir Perak daripada Shamsuddin Abu Hassan di Teluk Intan, kelmarin.

Pemilik kedai nasi kandar di sini, M. Gulam Rasul dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2010 peringkat daerah Hilir Perak.

Gulam, 54, dipilih kerana sikap rendah diri dan sering bersedekah hasil keuntungan perniagaan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Anugerah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Kuning, Datuk Shamsuddin Abu Hassan pada satu majlis di pekarangan Masjid Tanjung Keramat, Air Kuning, Langkap di sini semalam.

Gulam berkata, dia berasal dari keluarga miskin dan sebelum menjadi pengusaha restoran pernah bekerja sebagai pencuci pinggan di warung milik bapanya.

Katanya, berkat kegigihan bapanya, perniagaan warung itu bertambah maju sehingga berjaya menubuhkan tiga restoran nasi kandar yang popular di daerah itu.

Dua cawangan restoran itu terletak di Jalan Changkat Jong di sini serta di jalan besar ke bandar ini manakala sebuah lagi di Sitiawan.

“Sebagai hamba Allah saya sering menangis apabila teringatkan zaman ketika hidup dalam kemiskinan walaupun perniagaan sudah maju.

“Saya tidak pernah melupakan kisah silam saya dan atas dasar itu saya sering bersedekah sebahagian daripada keuntungan perniagaan kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut.

Gulam Rasul yang dilahirkan pada pada 28 September 1956 adalah anak jati bandar ini dan mengambil alih perniagaan bapanya sejak 1971 sehingga menjadi terkenal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");