Berita Hari Ini

Pemimpin BN Optimis Kemenangan Di DUN Tenang, Mood Pengundi Bagus

Para pemimpin Barisan Nasional (BN) optimis bahawa gagasan itu akan dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti lebih besar memandangkan maklum balas awal menunjukkan pengundi lebih memihak kepada calon BN.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata jentera parti akan berusaha menemui sebanyak mungkin pengundi sungguhpun mood dalam kalangan pengundi terhadap BN adalah positif.

“Saya telah lama berada di sini. Saya bukanlah asing dengan tempat ini. Saya lihat peluang untuk menang adalah baik. Mood di sini juga bagus lebih-lebih lagi sejak setahun lepas susulan pengumuman mengenai pelan transformasi kerajaan,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon di sini.

Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata MIC akan menyumbangkan undi daripada kaum India, dengan memanfaatkan kira-kira 1,410 anggota parti itu di kawasan Labis.

“Mood kaum India terhadap BN di kawasan ini adalah bagus. Kita sudah hampir mendapat semula tahap sokongan seperti yang kita peroleh sebelum ini. Ada banyak peruntukan bagi kuil di sini oleh MB (Menteri Besar),” katanya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas berkata BN membuat persiapan rapi untuk pilihan raya kecil ini, dengan jentera pilihan raya yang lebih tersusun dan fokus.

“Saya percaya kami boleh mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam pilihan raya kecil ini,” katanya.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan turut berkeyakinan bahawa BN akan dapat mengekalkan kerusi DUN Tenang memandangkan para pengundi lebih terdorong oleh semangat 1Malaysia.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata terdapat beberapa faktor yang beliau percaya akan mendorong pengundi memberi sokongan mereka kepada BN dalam pilihan raya kecil ini.

Antaranya ialah sokongan rakyat kepada konsep 1Malaysia, pelan transformasi kerajaan dan pemilihan calon, katanya.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tinjauan beliau mendapati peluang BN untuk memenangi pilihan raya kecil ini amat cerah, cuma jentera pilihan raya perlu diperhebatkan untuk meraih pandangan rakyat.

“Kita perlu lebih banyak jalan rumah ke rumah. Ceramah tak penting sangat. Ceramah sebenarnya tidak membantu. Walaupun pembangkang keluar dengan hujah 10 manifestonya, ini cuma pisang goreng,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Dr Maximus Ongkili percaya pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS akan memihak kepada BN, terutamanya dalam kalangan pengundi bukan Bumiputera.

“Masyarakat bukan Melayu mempunyai sebab yang baik untuk mengundi BN. Kalau anda tanyakan saya, kelebihannya bukanlah pada calon sebaliknya pada BN sendiri.

Sejak tahun lepas, kepimpinan BN telah mengemukakan pelbagai pelan transformasi sama ada di peringkat kerajaan atau parti,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");