Perak Hari Ini

Pemimpin politik digesa lebih bertanggung jawab terhadap isu Interlok

Jika tidak mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai sesuatu perkara, tindakan yang paling tidak bertanggung jawab yang boleh dilakukan adalah menghina atau menghukum perkara itu. Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, itulah episod malang yang menimpa novel Interlok, karya Abdullah Hussein, yang telah diputar belitkan isi kandungannya untuk kepentingan politik sesetengah pihak.

Beliau menjelaskan perkara itu pada satu sidang media selepas majlis penyampaian watikah perlantikan ketua kampung di Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

“Adalah tidak wajar untuk menghukum dan menghina karya itu sebagai menonjolkan sifat perkauman jikalau kita tidak benar-benar memahami atau mendalami kandungannya,’ kata Dr. Zambry.

Beliau menyoal, adakah novelis itu benar-benar menghina kaum India, sedangkan mengikut pengetahuan beliau, Abdullah menulis sebagai tribut persahabatannya dengan seorang rakannya yang bernama Maniam.

“Saya percaya ketika Abdullah menulis buku itu, dia tidak berniat untuk menghina mana-mana kaum, malah saya rasa dia hanya mengemukakan realiti kehidupan,” kata Dr. Zambry.

Seterusnya, Dr. Zambry menyeru golongan yang menangguk di air keroh supaya menghentikan tindakan kepentingan politik mereka kerana ia menyemarakkan sentimen perkauman.

“Sebagai pemimpin, tidak kira daripada pihak mana, kita bertanggung jawab meredakan suasana, bukan menghadiri acara membakar novel itu baru-baru ini,” kata Dr. Zambry.

Beliau mengulas tindakan lima NGO yang membuat laporan polis berasingan terhadap kejadian membakar novel kontroversi Interlok dan gambar penulisnya, Abdullah Hussein di Selangor, semalam.

Lima NGO itu termasuk Gapena dan Pena yang mewakili penulis Melayu, selain Ikatan Melayu Asli Nusantara, Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor.

Mengenai tindakan Vell Pari yang mewakili MIC untuk membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi menghalang novel Interlok digunakan sebagai buku teks di sekolah, Dr Zambry berkata; “Itu adalah haknya (Vell Pari). Kita tidak akan menghalang,” katanya.

Mengenai gesaan naib pengerusi DAP kebangsaan, M Kulasegaran agar MIC keluar daripada BN mengenai isu novel itu , Dr. Zambry menjelaskan, sepatutnya satu jalan yang terbaik dicari untuk menyelesaikan kontroversi itu dan tidak membiarkan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan untuk mengambil kesempatan politik daripada isu itu.

“Saya berpendapat majlis mesyuarat BN merupakan platform terbaik untuk menyelesaikan masalah novel interlok ini kerana setiap daripada kita mungkin dapat duduk berbincang dan capai kata sepakat bagi menghentikan segala kekeliruan yang timbul,” kata Dr. Zambry.

Disamping itu, Dr. Zambry yang juga pengerusi badan perhubungan UMNO negeri akan menerima apa jua rombakan yang akan dibuat di dalam pergerakan Pemuda UMNO, oleh ketua baharunya, Khairul Azwan Harun.

Beliau percaya rombakan itu adalah untuk mengemas kini jentera pergerakan pemuda itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");