Perak Hari Ini

Penduduk merayu jalan di turap

Penduduk beberapa kampung di Seberang Perak merayu kepada pihak berkenaan supaya menurap jalan dari Kampung Sungai Kerang ke Pengkalan Pokok Asam.

Seorang penduduk, Azhar Ibrahim, 43, berkata, jalan sejauh tujuh kilometer itu menjadi laluan alternatif penduduk untuk ke pekan Teluk Intan dengan menaiki bot penambang di jeti Pengkalan Pokok Asam.

Menurutnya, penduduk yang tidak mempunyai kereta akan menggunakan jalan itu untuk menaiki bot penambang ke pekan Teluk Intan.

“Jarak perjalanan dari jeti ke pekan itu adalah lebih dekat berbanding menggunakan jalan utama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Azhar berkata, keadaan jalan itu berlubang dan berlopak setiap kali hujan kerana tidak diturap.

Menurutnya, setiap kali hujan, penunggang motosikal perlu berhati-hati kerana jalan itu menjadi licin.

“Pihak berkenaan sepatutnya memantau perkara itu bagi memberikan keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, E Perumal, 63, berkata, hampir setiap hari dia menggunakan jalan alternatif itu untuk ke pekan Teluk Intan.

Menurutnya, dia akan ke pekan itu menaiki bot penambang bagi mendapatkan barang keperluan dan melihat anaknya yang bersekolah di sana.

“Walaupun jalan itu agak teruk namun, saya tetap menggunakan laluan itu kerana jaraknya lebih dekat.

“Sebelum jalan utama dibina, laluan itu menjadi penghubung kami ke pekan Teluk Intan,” katanya.

Perumal berkata, pihak berkenaan perlu memandang serius terhadap perkara itu dan segera memperbaiki jalan tersebut.

Laluan hampir dengan rumah

Penduduk, Tan Ah Eng, 70, berkata, dia dan isteri sering menggunakan laluan itu untuk ke ke Teluk Intan bagi mendapatkan keperluan harian.

Menurutnya, dia tinggal di Kampung Cina, Sungai Durian dan jalan ini lebih dekat untuk ke pekan itu berbanding laluan baru.

“Saya lebih suka menggunakan jalan ini kerana dekat dengan rumah dan lebih senang untuk bergerak,” katanya.

Peniaga di jeti pengkalan pokok asam, Ang Chai Hua, 52, berkata, dia sudah berniaga di situ sejak 20 tahun lalu dan setiap hari memang ramai penduduk sekitar Seberang Perak menggunakan jeti berkenaan untuk menyeberang ke Teluk Intan.

Menurutnya, penduduk akan menggunakan melalui jalan itu dan menaiki bot penambang di sini untuk ke pekan Teluk Intan.

“Jalan ini perlu diturap untuk memberi kemudahan penduduk terutamanya warga emas yang menunggang motosikal.

“Lampu jalan juga perlu diletakkan di sesetengah tempat untuk memudahkan penduduk yang melalui laluan itu pada waktu malam,” katanya.

Kos didakwa terlalu tinggi

Sementara: itu, seorang pemimpin tempatan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara tersebut dan pernah memasukkan projek berkenaan ke dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurutnya, oleh kerana bajet untuk membina semula jalan itu terlalu tinggi, projek tersebut terhenti seketika.

“Kami masih memohon supaya jalan itu dibaik pulih untuk keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, laluan itu tidak dapat dijadikan sebagai jalan utama kerana turut digunakan oleh lori di ladang kelapa sawit berhampiran bagi mengangkut hasil pertanian mereka.

“Namun begitu, ia tidak bermakna kami akan mengabaikannya begitu sahaja kerana permohonan masih diteruskan.

“Malah, jeti di sini juga telah dibina baru hasil peruntukkan Kerajaan Negeri bernilai RM30,000 keselesaan penduduk di situ,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");