Perak Hari Ini

Perak nafi tarik balik imbuhan guru KAFA

Kerajaan Perak menafikan akan menarik balik elaun RM200 sebulan yang diberikan kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berikutan keputusan Kerajaan Pusat menaikkan elaun mereka daripada RM500 kepada RM800 sebulan mulai tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata elaun itu yang diberikan kerajaan negeri sejak awal tahun lalu akan diteruskan seperti biasa bagi membolehkan guru KAFA di Perak memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.

“Saya ingin membuat penjelasan ini untuk memperbetulkan tanggapan pihak tertentu yang cuba bermain politik dengan tuduhan kononnya kerajaan negeri zalim dan munafik kerana didakwa mahu menarik balik elaun RM200 itu selepas Kerajaan Pusat menaikkan elaun hingga RM300 dalam Bajet 2011,” katanya.

Pada Bajet 2010, Kerajaan Perak membuat pengumuman menaikkan elaun 3,120 guru KAFA seluruh negeri daripada RM75 kepada RM200 membabitkan peruntukan RM4.68 juta berkuat kuasa Januari tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Pejabat Penghulu Mukim Selinsing dekat sini, semalam, Zambry berkata kerajaan negeri tidak pernah berhasrat untuk menarik balik elaun berkenaan.

Selain guru KAFA, katanya, ketua kampung di Perak juga akan menikmati pendapatan sehingga RM1,000 sebulan mulai bulan ini selepas pengumuman kenaikan elaun mereka dalam Bajet 2011 Perak yang dibentangkan baru-baru ini.

Mengenai tindakan Dewan Pemuda PAS Perak menghantar memorandum kepada mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria, pagi semalam meminta dikeluarkan fatwa berhubung isu ‘ancak’ membabitkannya, Zambry berkata parti itu sudah kehabisan modal sehingga menimbulkan isu yang sudah dijelaskan dengan panjang lebar tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");