Perak Hari Ini

Perak Perkenal Pendekatan Baru Atasi Masalah Setinggan

Kerajaan Perak memperkenalkan beberapa prosedur baru bagi memudahkan setinggan mendapatkan lot tanah rumah kediaman dalam usaha mencapai sasaran setinggan sifar sebelum akhir tahun 2012, kata Exco Kanan Datuk Hamidah Osman.

Beliau berkata prosedur atau pendekatan baru itu antaranya adalah penempatan ‘in-situ’ di mana penduduk terbabit tidak perlu dipindah ke tempat lain.

“Mereka hanya akan dipindahkan sekiranya tanah yang diduduki diambil balik pemilik tanah… sekiranya perbincangan yang dibuat dengan pemilik tanah berjaya, kerajaan negeri boleh membeli tanah itu untuk diberikan kepada (penduduk) setinggan yang telah lama menetap di situ,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kunci rumah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kampung Pisang pada hari Sabtu.

Hamidah berkata pendekatan itu telah dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah setinggan Kampung Raja Bashah dan Kampung Masjid di Pulau Pangkor baru-baru ini.

Beliau berkata pemilik tanah di dua kawasan berkenaan bersetuju menerima pampasan dan ganti rugi daripada kerajaan negeri dan hasilnya, setinggan yang telah menetap lama dapat terus menetap di situ dan dikurniakan geran hak milik.

Kerajaan negeri turut menyediakan tabung khas bagi membolehkan penerima tanah lot tidak berkemampuan membuat pinjaman bagi membayar premium dan caj yang dikenakan dalam pemberian hak milik.

Hamidah berkata walaupun Perak tersasar daripada mencapai matlamat setinggan sifar pada tahun 2010, kerajaan negeri yakin masalah itu dapat diselesaikan pada penghujung 2012 dengan pendekatan baru yang diambil.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");