Perak Hari Ini

Perak selaras pemberian insentif secara individu untuk acara berpasukan

Mulai tahun ini, kerajaan negeri akan menyelaraskan pemberian insentif secara individu kepada atlet kelahiran Perak yang memenangi pingat di peringkat Sukan SEA, Asia dan Komanwel dalam acara berpasukan.

Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudidn, berkata melalui penyelarasan ini, setiap atlet acara berkumpulan yang berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa bakal mendapat imbuhan sama seperti atlet individu.

“Bermula tahun ini, penerima insentif sukan akan diselaraskan di mana bagi acara berpasukan, pemenang yang mendapat pingat akan dianggap sebagai penerima individu bukan lagi sebagai penerima berkumpulan.

“Ini bertujuan memberi suntikan semangat kepada atlet yang menyertai acara berpasukan kerana sebahagian besar acara yang dipertandingkan di peringkat Asia dan Komanwel membabitkan acara berpasukan seperti hoki, bola sepak, badminton dan bola keranjang.

“Tidak semua atlet Perak akan mewakili negara dan mungkin dalam pasukan itu ada dua atau tiga daripada mereka adalah pemain dari negeri ini. Jadi, apabila kita menyelaraskan pemberian insentif, mereka mendapat jumlah insentif sama seperti atlet individu,” katanya kepada pemberita di Wisma MSN di Ipoh hari ini.

Terdahulu, Zainol Fadzi yang menyampaikan insentif sukan kepada 13 atlet Perak yang mewakili Malaysia di Sukan Asia dan Komanwel yang berlangsung tahun lalu.

Pemain badminton, Koo Kien Kiat, menerima insentif tertinggi iaitu RM17,000 di atas kejayaannya membawa pulang tiga pingat emas, empat perak dan satu gangsa dalam acara bergu campuran, bergu lelaki dan berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2010.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) negeri Perak, Meor Ismail Meor Hakim.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan menghargai sumbangan atlet Perak yang berjaya merangkul pingat di persada sukan antarabangsa.

Tambahnya, walaupun jumlah insentif diberi akan bertambah dengan penyelarasan itu, kerajaan negeri beranggapan ia bersesuaian dengan pembabitan dan komitmen yang ditunjukkan atlet sebagai pemain walaupun penyertaan mereka bukan dalam acara individu.

“Kesungguhan mereka berlatih adalah bergantung kepada semangat individu dan oleh itu, wajar atlet ini dihargai dengan penyelarasan insentif,” katanya.

Ketika ini, kadar insentif Sukan Sea bagi acara individu ialah RM3,000 bagi emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa) manakala bagi acara berpasukan pula RM1,000 untuk pingat emas, RM750 (perak) dan RM500 (gangsa).

Insentif Sukan Asia/Komanwel acara individu pula ialah RM5,000 (emas), RM4,000 (perak) manakala RM3,000 (gangsa) dan untuk acara berpasukan pemenang pingat emas membawa pulang RM3,000, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000).

Sementara bagi insentif Sukan Olimpik pula, bagi acara individu, pemenang pingat emas akan membawa pulang RM25,000, perak (RM15,000) dan gangsa (RM10,000). Bagi acara berpasukan pula, insentif RM10,000 diberi untuk kutipan pingat emas, RM5,000 (perak) dan RM3,000 untuk gangsa.

Dalam perkembagan berkaitan, penerima insentif Sukan Asia dan Komawel dalam acara menembak, Hasli Izwan Amir Hasan, menyambut baik penyelarasan insentif  itu dan mengatakan ia sepatutnya sudah lama dilaksanakan bagi menghargai sumbangan atlet sukan.

“Walaupun atlet bertanding dalam acara berpasukan, usaha mereka adalah secara individu dan tidak seharusnya pemberian insentif dibezakan antara individu dan acara pasukan.

“Selain itu, saya juga ingin merakamkan penghargaan di atas pemberian insentif ini yang membuktikan kerajaan negeri mengiktiraf sumbangan atlet kelahiran Perak yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa,” kata anak kelahiran Ipoh itu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");