Perak Hari Ini

Peristiwa-peristiwa yang menarik bagi Perak sepanjang tahun 2010

TAHUN 2010 telah pun melabuhkan tirainya tepat jam 12 tengah malam dan tahun baru 2011 pula bakal menginjak untuk mengambil tempatnya selepas itu.

Pelbagai peristiwa pahit, manis, suka dan duka berlaku di Malaysia dan Perak khususnya sepanjang tempoh 365 hari lalu yang pastinya meninggalkan kenangan dan ingatan yang terpahat di ingatan rakyat.

Kerajaan Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, terus makmur dan sejahtera hasil pembangunan pesat ekonomi dan sosial yang melimpahkan kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik.

Perak Amanjaya adalah pelan induk pembangunan yang julung-julung kali diperkenalkan oleh mana-mana negeri di Malaysia dan ia akan menyediakan pelan jangka panjang untuk pembangunan ekonomi selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Melalui pelan ini, Perak akan mengalami tranformasi kepada negeri berpendapatan tinggi dengan mengkhususkan kepada ekonomi berdaya maju.

Ia juga seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang ingin memberi tumpuan untuk membangunkan Perak dari segi ekonomi dengan berteraskan strategi pembangunan tujuh perkara utama.

Pada 30 November lalu, buat pertamanya kali Sidang Dewan Undangan Negeri Perak berlangsung tanpa sebarang kekecohan ketika Bajet 2011 dibentangkan oleh Dr Zambry.

Persidangan yang berlangsung empat hari berjalan lancar walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menggunakan isu angkat ancak untuk membuat serangan peribadi terhadap Dr Zambry.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi penggulungan Bajet 2011,  Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau ingin mengadakan perbahasan secara terbuka untuk memberi ruang bagi menjelaskan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang.

Jelasnya, jika tuduhan yang dikeluarkan dalam akhbar dan blog itu itu tidak dijawab, ia akan dipercayai oleh rakyat.

“Ini adalah peluang terbaik kepada saya kerana sebelum ini saya tidak mempunyai kesempatan menjawab segala kenyataan dan tuduhan pembangkang kerana tiada peluang bertemu dengan mereka.

“Maka dalam sidang dewan ini, saya buka ruang kepada mereka untuk bertemu secara langsung. Rakyat dapat saksikan sendiri tadi apabila saya beri ruang kepada Nizar, Ngeh dan Nga bercakap kerana tidak mahu perkara tidak benar dan kekeliruan terus berlanjutan,” katanya.

Katanya, isu ancak dan pengambilan tanah di Pangkor digunakan Pakatan Rakyat untuk memanipulasi, menghentam dan memburuk-burukkan kerajaan BN.

Tanggal 20 Disember lalu, negara digemparkan dengan kemalangan maut yang mengorbankan 28 nyawa dalam satu kemalangan negeri di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 35 pelancong Thailand.

Kejadian yang turut mengorbankan nyawa dua rakyat tempatan itu dicatatkan sebagai nahas terburuk dalam sejarah pengangkutan negara selain turut mencemarkan nama baik Malaysia dalam industri pelancongan antarabangsa.

Pelbagai andaian dibuat terhadap punca kemalangan itu antaranya sikap pemandu, masalah teknikal bas serta wujud unsur sabotaj tumpahan minyak di laluan itu tetapi sehingga hari ini, punca sebenar kejadian masih belum terungkai.

Dua hari selepas kejadian itu, keranda mayat 25 pelancong Thailand yang terbunuh dibawa pulang ke negara asal mereka menggunakan pesawat Tentera Diraja Thailand yang berlepas dari Pangkalan Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebelum diangkut dengan lori treler dari Jabatan Forensik Hospital Ipoh.

Berikut antara sorotan peristiwa suka dan duka yang berlaku di Perak pada 2010:

* 4 Januari – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu saman Suara Keadilan RM100 juta

* 12 Januari – Tiga perompak warga Indonesia ditembak mati oleh polis

* 31 Januari – 62 pekebun limau bali di Tambun terima geran pajakan 99 tahun.

* 15 April- Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir rasmi majlis pecah tanah bangunan Perak Halal Hub

* 23 April- Dua bekas Exco Pakatan Rakyat dan enam lagi dibebaskan daripada tuduhan rasuah

* 12 Jun – Lembah Lenggong bakal dinobatkan sebagai tapak warisan dunia

* 29 Jun – Yayasan Bina Upaya lancar Ladies Uptown Ipoh bantu ibu tunggal berniaga

* 7 Julai – Perdana Menteri rasmi Hari Peneroka 2010 di Felda Trolak

* 16 Julai – Klinik Dr Zambry diumumkan sebagai pendekatan terbaru Menteri Besar dekati masalah rakyat

* 19 Julai – Ipoh International Run 2010

* 24 Julai – Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor rasmi Pusat PERMATA Bercham

* 27 Julai – Tren elektrik Ipoh-Kuala Lumpur beroperasi Ogos

* 20 Ogos – Rampasan terbesar dadah Eramin 5 di Malaysia

* 19 September – Sultan Perak dan Raja Permaisuri menggunakan perkhidmatan ETS dari KL-Ipoh

* 30 September – LAP umun keuntungan sebelum cukai naik 65.4 peratus kepada 70.32 juta

* 3 Oktober – Hor Yee anak angkat Menteri Besar ke 134

* 5 Oktober – Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh umum sertai PPP

* 8 Oktober – 3 nelayan maut, bot berlanggar kapal dagang di perairan Sabak Bernam

* 13 Oktober- 35 GRO ditahan di Sitiawan dan Parit Buntar

* 14 Oktober – Enam remaja rentung kereta langgar pokok sebelum terbakar di Kampar

* 16 Oktober- Pelajar Tingkatan Empat dirogol sebelum dibunuh di Teluk Intan

* 27 Oktober – Menteri Besar serah sumbangan sempena lawatan kerja ke Sungai Siput

* 6 November – Perak umum hantar tujuh lori bekal air bersih kepada mangsa banjir di Kedah

* 11 November – 12 pelacur dicekup tawar khidmat seks di spa dekat Ipoh

* 17 November – Peguam mati ditikam empat lelaki bertopeng di Desa Rishah

* 22 November – Dr Zambry menang saman RM100 terhadap PKR

* 28 November – Isteri Perdana Menteri, Datuk Paduka Rosmah rasmi program Pandu Puteri Turun Padang di perkampungan Orang Asli dekat Tapah.

* 30 November – Hari pertama Sidang DUN Perak bagi membahaskan usul Bajet 2011.

* 9 Disember – Perdana Menteri rasmi Klinik Bergerak 1Malaysia di Pos Raia, dekat Simpang Pulai

* 11 Disember – Tiga parah bas terbabas dan terbalik dekat Gua Tempurung

* 14 Disember – Helikopter terhempas di Malim Nawar, juruterbang terbunuh

* 14 Disember – Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh dipenjara 19 tahun, denda RM210,000 kerana terima rasuah

* 15 Disember – Kerajaan negeri umum elaun tambahan RM150 kepada Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung Baru mulai tahun depan

* 20 Disember – Kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas persiaran di KM 15 Jalan Cameron Highlands- Simpang Pulai mengorbankan 28 nyawa penumpang sekaligus mencatat rekod nahas terburuk dalam sejarah pengangkutan negara.

* 22 Disember – Keranda 25 mayat pelancong Thailand diangkut menggunakan lori treler ke pangkalan TUDM Subang sebelum diterbangkan ke Thailand dengan pesawat Hercelus 1300 milik Tentera Udara Diraja Thailand.

* 23 Disember – Peningkatan sebanyak 0.78 peratus calon PMR dari Perak dapat A dalam semua mata pelajaran.

* 27 Disember – Hospital Pakar Ipoh menjadi hospital pertama di Malaysia menyediakan pusat perlindungan bayi untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa.

* 30 Disember – Pembinaan airport cargo antara projek mega yang dirancang di Tanjung Malim

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");