Perak Hari Ini

PiNCER beroperasi bulan depan

Pusat mampu hasilkan filem animasi kelas dunia, tercanggih

IPOH: Pusat Sumber Inovasi dan Kreatif Perak (PiNCER) yang mampu menghasilkan filem animasi kelas dunia dan dianggap tercanggih di negara ini, dijangka boleh digunakan sepenuhnya bulan depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, PiNCER yang dibina dengan peruntukan RM20 juta memiliki pelbagai peralatan dan kelengkapan yang memenuhi keperluan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata, pusat itu bersedia menawarkan perkhidmatan dalam bidang reka bentuk produk serta kandungan kreatif, bukan saja untuk keperluan tempatan tetapi pada peringkat antarabangsa. Antara kemudahan yang ada di PiNCER ialah studio kreatif, studio rekaan inovasi, studio produksi, teater mini, galeri dan bilik kuliah.

“Sehingga kini, ia sudah mula digunakan untuk menghasilkan sebuah filem animasi berkelas dunia dengan kerjasama Spacetoon International dan beberapa perbincangan sudah diadakan dengan beberapa negara untuk menayangkan filem itu apabila siap kelak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan BioDcity@Meru Raya di sini, semalam.

Sebelum itu, Zambry melakukan praperasmian PiNCER yang juga terletak dalam kawasan Meru Raya.

Zambry berkata, maklumat lanjut mengenai filem animasi itu akan diumumkan kemudian.
Beliau juga yakin kewujudan PiNCER membolehkan Perak menjadi pusat tumpuan pembikinan filem animasi di negara ini.

“Beberapa pakar animasi dari Jepun turut mengunjungi pusat berkenaan baru-baru ini dan mereka menyifatkan kemudahan serta kelengkapan yang ada di dalamnya seperti (kereta) Ferrari yang boleh difahami sebagai antara tercanggih pernah mereka lihat,” katanya.

Zambry berkata, kewujudan pusat berkenaan juga bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan beberapa kluster industri yang sudah dikenal pasti di negeri ini seperti industri kepelbagaian biologi atau BioD dan bioteknologi.

Katanya, PiNCER yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak di bawah projek Taman Teknologi Tinggi Perak (PHTP) adalah satu-satunya pusat menawarkan sumber teknologi dan kepakaran.- Berita Harian Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");