Isu Panas

PKR Kian Runtuh, Kata Muhyiddin

Parti Keadilan Rakyat (PKR) ibarat ‘Parti Kian Runtuh’ apabila seorang demi seorang pemimpin pengasas parti itu keluar dan meninggalkannya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, kebanjiran keluar pemimpin parti itu daripada PKR membuktikan kepercayaan kepimpinan dan masyarakat terhadap parti itu semakin menurun.

“PKR itu adalah Parti Kian Runtuh, semua pemimpin utama yang mengasaskannya telah keluar. Itu petanda perjuangan PKR tidak didukung bukan sahaja oleh pemimpinnya tetapi juga rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan di Majlis Pekan Ayer Panas.

Beliau berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dapat mengambil pengajaran daripada keruntuhan PKR, kerana PAS bersekongkol dengan PKR di bawah bendera pakatan pembangkang.

Muhyiddin ditanya tentang keputusan anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan, yang mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan kini menjadi anggota Parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta.

Gobalakrishnan, 50, mengumumkan keputusan itu pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Paya Besar Lunas, dekat Kulim, Kedah.

Dengan keputusannya itu, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menjangkakan lebih ramai pemimpin PKR akan meninggal parti pembangkang itu tidak lama lagi.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");