Perak Hari Ini

Q Day Universiti Teknologi Petronas iktiraf sumbangan kakitangan

Universiti Teknologi Petronas (UTP) baru-baru ini menganjurkan Hari Kualiti (Q Day) ke-8 bagi mengiktiraf kesungguhan, sumbangan dan komitmen staf universiti dalam pelbagai kategori.

Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim berkata, penganjuran majlis itu antara lain bertujuan memberi kesedaran serta mengukuhkan pembudayaan lima prinsip kualiti Petronas ke arah penambahbaikan berterusan.

“Nilai dan pelaksanaan etika adalah amat penting dalam pengurusan dan penyeliaan perkhidmatan berkualiti di universiti.

“Jaminan kualiti dan pengurusan yang baik hanya mampu dicapai sekiranya warga UTP memegang teguh kepada nilai disiplin, sikap bertanggungjawab, kejujuran, integriti dan profesionalisme,” katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa sasaran yang ingin dicapai universiti melalui Pelan Kualiti Universiti iaitu:

* Pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti Universiti kepada ISO 9001:2008 pada 2011 di bawah skop penggubalan dan penyemakan semula kurikulum dan peperiksaan akhir untuk program ijazah

* Pengekalan Status MSC yang dipegang universiti sehingga 2012

* Pencapaian tahap 6 (terbilang) dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA)

* Pencapaian taraf Universiti Penyelidikan pada 2013

* Pencapaian status akreditasi sendiri program-program yang ditawarkan pada 2014

* Pencapaian dalam anugerah kualiti antarabangsa (seperti Anugerah Malcolm Baldridge) pada 2014.

Pada majlis tersebut, Zainal Abidin turut menyampaikan 14 anugerah dalam pelbagai kategori termasuk perkhidmatan paling lama, penyelidikan, penerbitan, penyampaian pendidikan terbaik, personaliti serta kejayaan mengurangkan kos perbelanjaan universiti.

Anugerah paling berprestij untuk kategori akademik iaitu Anugerah Jabatan Terbaik dimenangi oleh Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Sementara itu, bagi kategori perkhidmatan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Perkhidmatan Media muncul sebagai juara.

Anugerah Penyelidik Terbaik pula dimenangi oleh Profesor Dr. Ahmad Fadzil Mohd. Hani dari Jabatan Elektrik dan Elektronik.

Selain itu, Profesor Madya Dr. Azween Abdullah dari Jabatan Komputer dan Maklumat Sains pula dipilih sebagai pemenang pertandingan slogan melalui slogannya iaitu Embracing Quality, Energizing Innovation.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");