Perak Hari Ini

Raja Muda gesa Perak martabatkan tulisan jawi

Sedar akan perihal pentingnya tulisan jawi di dalam budaya Melayu, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Sultan Azlan Shah bertitah agar kelangsungan tulisan itu dipertahankan. Bagi baginda, jawi adalah sebahagian dari khazanah bangsa yang wajib dikekalkan, diberi keutamaan dan dipertahankan selagi Melayu tak hilang di dunia.

Baginda bertitah demikian semasa mencemar duli ke persidangan ahli majlis agama Islam Perak ke 174, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Menurut baginda, tulisan jawi adalah sebahagian dari warisan sejarah Melayu, dan telah memartabatkan bahasa Melayu, menyuntik komponen tulisan kepada bahasa yang indah lagi kaya. Melalui tulisan jawi, bahasa Melayu lebih luas tersebarnya dan berperanan amat penting untuk merakamkan secara bertulis kekayaan sejarah dan warisan bangsa, begitu juga peranan pentingnya membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Tulisan jawi, titah Raja Nazrin lagi, adalah tulisan yang mendapat pengiktirafan tinggi; diguna pakai di istana Raja Melayu. Malah surat-surat luar negara yang ditulis kepada Raja-Raja Melayu, begitu juga perjanjian-perjanjian yang dimeterai dengan Raja-Raja Melayu, ditulis dengan tulisan jawi.

Sehingga hari ini, Raja-Raja Melayu meneruskan dan kekal memberi tempat yang mulia kepada warisan bangsa ini; watikah-watikah dan surat-surat utama Raja-Raja Melayu masih kekal menggunakan tulisan jawi.

Titah Raja Muda lagi, keupayaan membaca dan menulis jawi juga mempunyai kaitan penting dengan penghayatan terhadap agama Islam, Al-Quran, Hadis Nabi, dan kitab-kitab utama agama Islam adalah di dalam jawi. Ketiak upayaan umat Islam untuk menguasai tulisan jawi dibimbangkan akan menjauhkan mereka dari sumber dan naskhah asal khazanah ilmu hasil karya pujangga dan ilmuwan Islam.

Tegas Raja Nazrin lagi, usaha memastikan tulisan jawi terus hidup dan tidak pupus adalah satu perjuangan bangsa. Ia adalah sebahagian dari khazanah bangsa yang wajib dikekalkan, diberi keutamaan dan dipertahankan selagi Melayu tidak hilang di dunia.

Baginda juga memuji Kumpulan Utusan kerana ia adalah satu-satunya syarikat akhbar yang masih mencetak Utusan Melayu Mingguan di dalam jawi meski pun berdepan dengan pelbagai cabaran dan tanggungan kewangan yang berat. Baginda telah mencemar duli melawat ke Kompleks Sri Utusan untuk melihat sendiri bagaimana akhbar itu dikeluarkan.

Baginda menyifatkan warga Utusan Melayu sebagai pejuang bahasa yang bersemangat tinggi untuk terus mempertahankan warisan bangsa Melayu dan setiap pejuang bangsa perlu diberi penghargaan dan diberi sokongan oleh setiap anak Melayu yang berjiwa dan bersemangat Melayu. Raja Muda menambah, tak kira setinggi mana darjat seseorang Melayu itu, dia mesti ingat akan asal usulnya di Tanah Melayu ini; tahu menghargai khazanah bangsanya dan tidak rela warisan bangsanya dihina dan di cerca.

Raja Nazrin juga bertitah, orang Melayu jangan terlalu cepat melatah, terbawa-bawa dengan agenda sulit lagi terselindung yang mahu menghapuskan warisan bangsa, lalu bersedia diperalatkan untuk membunuh warisan bangsa sendiri

Dalam keinsafan semangat tersebut, baginda telah membuat sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 menaja bekalan akhbar Utusan Melayu Mingguan ke sekolah-sekolah di Perak. Pemilihan sekolah akan ditentukan oleh Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, serta Pengarah Pelajaran negeri. Baginda juga menggesa agar agensi-agensi kerajaan dan badan-badan korporat di negeri ini untuk sama-sama tampil menyokong  usaha gigih Utusan Melayu demi memastikan warisan bangsa yang berharga itu tidak terkubur.

Seterusnya, Raja Nazrin menyarankan agar bahan bercetak untuk semua program Majlis Agama Islam Perak seboleh-bolehnya dilakukan dalam kedua-dua tulisan rumi dan jawi. Disamping itu, baginda juga menyarankan agar penganjuran pertandingan menulis dan membaca jawi di peringkat sekolah pada hari-hari kebesaran tertentu untuk disertai oleh murid-murid semua peringkat tanpa mengira agama dan bangsa, dapat diadakan.

Baginda berharap dengan cara menganjurkan pertandingan itu dapat menggalakkan anak-anak di negara ini supaya menghayati tulisan jawi.

Sebelum mencemar duli ke persidangan Majlis Agama Islam Perak itu, Raja Nazrin telah berkenan melantik seorang ahli majlis yang baru iaitu Ketua Polis negeri yang baharu, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang menggantikan mantan Ketua Polis negeri, Datuk Zulkifl Abdullah yang bertukar baru-baru ini.

Kemudian itu, baginda berkenan untuk menerima bayaran zakat perniagaan, pertanian dan ternakan bagi pihak Majlis yang berjumlah mencecah RM1.4 juta daripada Felcra Berhad wilayah Perka, Pertubuhan Peladang Negeri Perak dan Etiqa Takaful Berhad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");