Perak Hari Ini

Ribuan spesis ikan mati akibat dituba

Gara-gara sikap tamak, ribuan spesis ikan air tawar di sebuah kolam ikan terbiar yang terletak berdekatan tanah perkuburan Kristian Katholik, dekat Tambun mati dipercayai dituba petang Sabtu lalu.

Pelbagai spesis ikan air tawar seperti tilapia, haruan, keli dan baung menjadi mangsa perbuatan dua individu berusia lingkungan 30 hingga 40an yang disyaki membuang tuba ke dalam kolam berkenaan.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati, kedudukan kolam itu agak tersorok dari pandangan kerana ia terletak di belakang tanah perkuburan selain jalan ke situ juga ditumbuhi semak samun.

Selain terapung-apung di tepi kolam, bangkai ikan juga turut kelihatan dalam longkang besar yang terletak di tepi jalan dari arah Tanjung Rambutan ke pusat bandar.

Pekerja am, S Bala, 42, berkata sebelum kejadian itu, beliau sedang bekerja di tanah perkuburan itu bersama dengan salah seorang rakannya.

“Sekitar jam 12.30 tengah hari, saya lihat dua lelaki menuju ke kolam ikan  itu dan mereka terpaksa melalui kawasan perkuburan ini dan semak-samun sebelum sampai ke lokasi terbabit.

“Apabila tiba di sana, mereka melontar sebuah bekas minuman plastik berisi cecair dipercayai tuba ke  dalam kolam dan selepas 30 minit berlalu, pelbagai spesis ikan mula timbul dan melompat-lompat di atas permukaan air.

“Dengan menggunakan jaring, kedua-dua lelaki itu masuk ke dalam kolam dan berjaya menangkap pelbagai jenis ikan air  tawar yang dianggarkan lebih 200 kg,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Tambahnya, kerja menjaring itu selesai jam 6 petang dan kedua-dua lelaki terbabit membawa pulang hasil tangkapan mereka dengan menggunakan sebuah kereta Perodua Kancil.

Sementara itu, Bala berkata, kolam itu sering menjadi tumpuan kaki pancing dan hampir setiap hari sekitar 20 pemancing menghabiskan masa di situ untuk memancing ikan air tawar bersaiz besar seperti belida dan haruan.

Sambil menyatakan rasa kecewa di atas kejadian itu, Bala berkata, salah satu spesis ikan air tawar yang ada di kolam terbabit amat digemari pekerja asing Bangladesh.

Katanya, 90 peratus ikan dalam kolam itu mati dan masalah bau busuk yang disebabkan oleh bangkai ikan dijangka akan hilang dalam tempoh seminggu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");